19/05/2026
𝗠𝗔𝗝𝗟𝗜𝗦 𝗣𝗘𝗡𝗬𝗘𝗥𝗔𝗛𝗔𝗡 𝗦𝗨𝗠𝗕𝗔𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗦𝗜𝗡𝗔𝗥 𝗞𝗔𝗦𝗜𝗛 𝗨𝗗𝗔 𝗖𝗔𝗥𝗘𝗦-𝗣𝗧𝗣𝗧𝗡 (𝗦𝗔𝗞𝗨𝗥𝗔)
𝟭𝟴 𝗠𝗲𝗶 𝟮𝟬𝟮𝟲 (𝗜𝘀𝗻𝗶𝗻) – PTPTN telah melaksanakan Majlis Penyerahan Sumbangan Sinar Kasih UDA Cares-PTPTN (SAKURA) bertempat di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Universiti Sains Malaysia (USM). Program ini merupakan kesinambungan kepada kolaborasi strategik yang dimeterai antara PTPTN dan UDA Holdings Berhad sejak tahun 2024 selaras dengan aspirasi bersama dalam memperkasa agenda pendidikan tinggi negara di samping membudayakan amalan menabung serta perancangan kewangan pendidikan dalam kalangan masyarakat.
Majlis ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN. Turut hadir, YBrs. Dr. Shamsuri Abdullah, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti (JPPKK), KPT, YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN, YBrs. Encik Farizal Zainudin, Ketua Pegawai Kewangan Kump**an UDA Holdings Berhad, YBrs. Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya. Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan pelajar dan Alumni (HEPA) USM, YBrs. Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha, Pengarah Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, USM dan Encik Muhammad Muhsin Abdul Rahman, Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang.
Menerusi program ini, UDA Holdings Berhad telah menyalurkan sumbangan wakalah zakat berjumlah RM240,000 untuk dimanfaatkan oleh 1,200 orang pelajar asnaf dari Universiti Awam (UA), Politeknik dan Kolej Komuniti terpilih di seluruh Malaysia. Sumbangan tersebut akan disalurkan terus ke dalam akaun Simpan SSPN Prime dengan setiap pelajar menerima RM200 seorang.
Pengerusi PTPTN berkata, “Besar harapan saya agar sumbangan ini dapat meringankan beban pelajar serta meningkatkan motivasi mereka untuk terus memberi tumpuan kepada pembelajaran. Sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada UDA Holdings Berhad atas sumbangan dan keprihatinan yang diberikan.”
Semoga dengan kerjasama strategik ini dapat membantu untuk menggalakkan budaya menabung serta perancangan kewangan pendidikan dalam kalangan masyarakat sekali gus dapat meningkatkan imej positif PTPTN.