30/08/2026
LAWATAN TEKNIKAL & FACTORY ACCEPTANCE TEST (FAT) KE LYSAGHT GALVANIZED STEEL BHD, IPOH, PERAK (20 OGOS 2026).
Alhamdulillah selesai sesi Lawatan Teknikal dan Factory Acceptance Test (FAT) bagi Projek Membina dan Menaiktaraf Infrastruktur Pelengkap Kompleks Sukan di Bandar Al Muktafi Billah Shah, Terengganu. Lawatan ini memberi pendedahan secara langsung terhadap proses pembuatan, pemeriksaan, kawalan kualiti dan pengujian terhadap tiang lampu highmast bagi padang bola sepak dan gelanggang tenis selaras dengan keperluan teknikal dan spesifikasi projek.
Lawatan ini turut menjadi platform perkongsian ilmu dan pemindahan pengetahuan teknikal kepada pasukan projek, khususnya berkaitan proses Hot-Dip Galvanizing, pemeriksaan dimensi, kemasan permukaan, ketebalan salutan serta aspek kawalan mutu sebelum produk dihantar ke tapak. Pengalaman secara hands-on seperti ini amat penting bagi memastikan setiap komponen yang digunakan memenuhi tahap kualiti, keselamatan, ketahanan dan kebolehpercayaan yang ditetapkan.
Semoga ilmu, pengalaman dan hasil perkongsian sepanjang lawatan ini dapat dimanfaatkan dalam pelaksanaan projek secara lebih efisien, berkualiti dan berintegriti. Usaha memastikan kualiti infrastruktur bukan sekadar memenuhi spesifikasi, malah merupakan satu tanggungjawab dalam menyediakan kemudahan yang selamat, tahan lama dan memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya kepada generasi akan datang.
Jabatan Kerja Raya Malaysia ( Public Works Department )