12/04/2026
🌾𝐌𝐀𝐉𝐋𝐈𝐒 𝐏𝐄𝐑𝐀𝐒𝐌𝐈𝐀𝐍 𝐀𝐆𝐑𝐎𝐅𝐄𝐒𝐓 𝐃𝐀𝐄𝐑𝐀𝐇 𝐘𝐀𝐍 2026🌾
12 April 2026 , Yan – Program AgroFest Daerah Yan 2026 telah berlangsung dengan penuh meriah di Pusat Mempelam Kedah, Yan,
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Tuan Haji Dzowahir bin Haji Ab. Ghani, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan.
Turut hadir memeriahkan majlis YB Dato’ Ustaz Mohd Azam bin Abdul Samad; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Encik Rozaidi bin Abdul Rahman; Pengarah Pertanian Negeri Kedah, Puan Fara Ashikin binti Mohd Zikri (Wakil Pegawai Daerah Yan).
Program ini dianjurkan sebagai platform untuk mempromosikan hasil pertanian tempatan, khususnya tanaman mempelam termasuk varieti Harumanis yang semakin mendapat permintaan tinggi di pasaran. Selain itu, AgroFest turut menjadi medan memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi kerajaan, usahawan tani dan komuniti setempat.
Penganjuran kali ini juga lebih bermakna dengan sambutan Jubli Emas Pusat Mempelam Kedah, yang telah mencapai usia 50 tahun sejak penubuhannya pada tahun 1976. Sepanjang tempoh tersebut, pusat ini memainkan peranan penting sebagai hab rujukan, penyelidikan dan pembangunan industri mempelam di negeri Kedah.
Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang program termasuk pameran pertanian, jualan produk agro, serta penyampaian Sijil myGAP kepada usahawan tani sebagai pengiktirafan terhadap amalan pertanian berkualiti dan selamat. Turut disampaikan adalah insentif pembangunan projek pertanian yang melibatkan pelbagai sektor seperti tanaman sayuran, buah-buahan, padi dan agropelancongan.
Kerajaan Negeri Kedah melalui Jabatan Pertanian terus komited dalam memperkasa sektor pertanian agar lebih moden, berdaya saing dan mampan, selaras dengan usaha meningkatkan pendapatan petani serta menjamin keselamatan makanan negara.
Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan lagi AgroFest Daerah Yan 2026 dan menyokong produk tempatan.