21/05/2026
“Kadang-kadang kita melihat ada jalan yang mengalami kerosakan kecil tetapi diturap sepenuhnya. Dalam masa yang sama, terdapat jalan yang lebih kritikal hanya diturap sebahagian, malah ada yang masih belum diturap langsung.”
Demikian antara perkara yang dibangkitkan oleh YB Cikgu Haji Azhar bin Ibrahim, ADUN Ayer Hitam ketika kunjungan ke Pejabat Pembangunan Persekutuan (ICU) Negeri Kedah bagi daerah Kubang Pasu dan Padang Terap di Jitra selepas Zohor tadi.
Menurut YB, antara jalan yang memerlukan perhatian segera ialah Jalan Kampung Pida 7 Ayer Hitam dan Jalan Kampung Pida Tok Tambak yang sering menjadi rungutan penduduk setempat.
“Justeru, pihak MARRIS dan ICU perlu mencari kaedah penyelarasan yang lebih berkesan supaya jalan-jalan yang benar-benar memerlukan perhatian segera dapat diberikan keutamaan untuk dilaksanakan,” jelas beliau.
Kunjungan tersebut turut disertai oleh pegawai-pegawai PKWR DUN Ayer Hitam dan disambut mesra oleh Puan Mazlyana Ramli, Pegawai Pembangunan Zon bersama kakitangan ICU yang hadir iaitu Puan Rosdiana Binti Mohd Radzi, Penolong Pegawai Pembangunan Zon, serta Encik Asyrani Bin Abd Rahman dan Encik Mohd Faiz Bin Sooud selaku Penolong Jurutera.
Pelbagai isu rakyat telah dibincangkan dalam pertemuan tersebut antaranya berkaitan jalan ladang, pemasangan lampu solar, baik pulih rumah asnaf serta beberapa isu berkaitan masjid. Antara yang dibawa ialah keperluan baik pulih dan perhatian terhadap Masjid Babussalam, Pida 3 Tunjang serta Masjid Salahuddin Al-Ayubi, Gurindam.
Selain itu, pihak PKWR DUN Ayer Hitam turut menyerahkan maklumat melibatkan 14 buah rumah asnaf di dalam DUN Ayer Hitam yang memerlukan perhatian dan tindakan segera daripada pihak berkaitan.
Perbincangan berlangsung dalam suasana yang mesra dan penuh keterbukaan dengan setiap isu yang dibangkitkan diberikan perhatian serta maklum balas yang baik daripada pihak ICU.
Semoga segala hasil perbincangan dan kerjasama ini dapat dipermudahkan serta memberi manfaat terbaik kepada rakyat khususnya di kawasan DUN Ayer Hitam.