22/07/2026
LAPORAN PROGRAM FOCUS GROUP DISCUSSION (FGD) SOCIAL IMPACT ASSESSMENT (SIA)
Cadangan Projek Pembangunan Komersial ENS Rackson Sdn. Bhd., Batu Uban
Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Batu Uban telah menyertai sesi Focus Group Discussion (FGD) Social Impact Assessment (SIA) bagi Cadangan Projek Pembangunan Komersial oleh ENS Rackson Sdn. Bhd. yang dikendalikan oleh pihak perunding LHK Planning Consultant Sdn. Bhd. yang diadakan di Dewan MPKK Batu Uban.
Sesi ini telah dihadiri oleh barisan pengurusan MPKK Batu Uban, MPKK Sungai Dua, wakil-wakil Jawatankuasa Pengurusan Perumahan di sekitar Batu Uban termasuk Flat Desa Riang, Flat Taman Utara, Villa Sri Kenanga serta beberapa kawasan perumahan berhampiran. Turut hadir ialah wakil pemaju ENS Rackson Sdn. Bhd., pasukan arkitek pembangunan serta pihak perunding projek.
Sesi FGD telah dipengerusikan oleh Dr. Kuppusamy bersama pasukan perunding SIA daripada LHK Planning Consultant Sdn. Bhd. Dalam sesi pembentangan, pihak perunding telah memberikan penerangan mengenai komponen pembangunan yang dicadangkan, status semasa tapak projek serta cadangan pelaksanaan pembangunan yang akan dilaksanakan secara empat (4) fasa.
Antara komponen utama pembangunan yang dibentangkan termasuk pembinaan service apartment, hotel, podium parking, ruang pejabat, pusat perniagaan serta kemudahan komersial yang lain.
Sesi kemudiannya diteruskan dengan proses perbincangan terbuka dan kaji selidik bersama wakil-wakil penduduk. Pelbagai pandangan, cadangan dan kebimbangan telah dikemukakan oleh komuniti setempat untuk dipertimbangkan dan dimasukkan ke dalam Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA).
Antara cadangan utama yang dikemukakan oleh penduduk ialah:
1. Memohon supaya komponen pembangunan turut menyediakan Rumah Mampu Milik (RMM/RMKU) bagi memberi peluang kepada penduduk tempatan memiliki kediaman. Penduduk Batu Uban juga memohon agar diberikan keutamaan serta insentif atau diskaun khas untuk memiliki unit kediaman dalam pembangunan tersebut.
2. Peluang pekerjaan sepanjang tempoh pembinaan dan selepas projek siap hendaklah mengutamakan penduduk Batu Uban, sekali gus memberi manfaat ekonomi kepada komuniti setempat.
3. Wakil penduduk juga menyoalkan tentang plot ratio tempat letak kereta yang dianggap masih rendah iaitu kurang daripada 2:1, jadi perlu ditambah sesuai dengan arus zaman.
4. Reka bentuk pembangunan hendaklah menggalakkan integrasi komuniti, dengan akses yang lebih mesra dan harmoni tanpa mewujudkan jurang atau halangan fizikal antara kawasan pembangunan baharu dan perkampungan sedia ada. Menyambut baik cadangan pemaju untuk menyediakan kemudahan akses pejalan kaki berbumbung ke stesen LRT Mutiara Line.
5. Menyediakan ruang terbuka awam (open space), taman permainan, kawasan rekreasi serta dewan komuniti atau dewan acara bersama yang boleh dimanfaatkan oleh semua penduduk.
6. Isu impak trafik perlu diberi perhatian serius memandangkan pembangunan ini bakal meningkatkan jumlah penduduk dan pengguna jalan raya. Penduduk mencadangkan supaya pelan pengurusan trafik dan pelan kontingensi yang komprehensif disediakan. Dalam masa yang sama, penduduk menyambut baik cadangan pembinaan jalan yang menghubungkan terus Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Jalan Sultan Azlan Shah, yang dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di Jalan Batu Uban terutama pada waktu puncak.
7. Penduduk turut membangkitkan keperluan berkaitan kemudahan ibadah. Dengan pertambahan pekerja binaan sepanjang tempoh projek dan pertambahan penduduk selepas pembangunan siap, dijangka jumlah jemaah di Masjid Batu Uban akan meningkat. Sehubungan itu, dicadangkan supaya pihak pemaju mengkaji keperluan pembinaan sebuah surau dalam komponen pembangunan serta mempertimbangkan sumbangan bagi menaik taraf infrastruktur dan kapasiti Masjid Batu Uban.
8. MPKK Batu Uban juga mengambil peluang ini untuk memohon pihak pemaju untuk menyelenggara tapak pembangunan ini kerana risiko pembiakan nyamuk dan menjadi tempat bersarang haiwan berbisa yang memberi kesan kepada keselamatan dan kesejahteraan penduduk Batu Uban.
MPKK Batu Uban merakamkan penghargaan kepada pihak LHK Planning Consultant Sdn. Bhd., ENS Rackson Sdn. Bhd., semua agensi, wakil penduduk dan jawatankuasa perumahan yang hadir serta memberikan pandangan yang amat konstruktif. Diharapkan segala cadangan dan aspirasi komuniti yang dikemukakan akan diberi perhatian sewajarnya dalam penyediaan Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) sebelum sebarang pembangunan dilaksanakan.
MPKK Batu Uban akan terus memainkan peranan sebagai jambatan antara komuniti dan pihak berkepentingan bagi memastikan setiap pembangunan yang dilaksanakan adalah inklusif, mampan serta memberikan manfaat kepada penduduk setempat, selaras dengan aspirasi pembangunan yang seimbang dan berkualiti.