16/07/2026
BIL 4/2026: MESYUARAT JAWATANKUASA PEMBANGUNAN DAN KESELAMATAN KAMPUNG (JPKK) T**I GANTUNG
3.00 Petang | 16 Julai 2026 | DOR T**i Gantung
Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) T**i Gantung Kali Keempat telah diadakan di Dewan Orang Ramai Kampung T**i Gantung. Mesyuarat ini diadakan sebagai platform untuk membincangkan isu-isu semasa serta merancang pelaksanaan program dan pembangunan demi kesejahteraan penduduk kampung.
Mesyuarat dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Ketua Kampung, Encik Mohd Yusoff Ramli. Dalam ucapannya, beliau menyentuh beberapa perkara semasa yang berlaku di kampung serta menyeru seluruh penduduk agar terus berganding bahu, mengukuhkan semangat kerjasama dan memupuk perpaduan dalam memastikan kesejahteraan, keselamatan serta keharmonian Kampung T**i Gantung terus terpelihara.
Antara perkara utama yang dibincangkan ialah usaha mencari penyelesaian terhadap masalah banjir kilat yang sering melanda Lorong Semangat 2. Bagi mengatasi isu tersebut, mesyuarat bersetuju agar kerja-kerja membaiki serta mengorek semula longkang berhampiran dilaksanakan bagi melancarkan aliran air dan mengurangkan risiko banjir pada masa hadapan. Selain itu, mesyuarat turut dimaklumkan bahawa kerja-kerja pembaikan bumbung dan siling Surau Kampung Sepakat Jaya (PPRT) sedang giat dilaksanakan hasil peruntukan yang telah diluluskan oleh Pejabat YAB Menteri Besar Perak.
Seterusnya, ahli mesyuarat dimaklumkan mengenai penganjuran Program Jelajah Desaku @ DUN Bota yang akan diadakan pada 1 Ogos ini di RPA Gelung Pepuyu. Taklimat berhubung pelaksanaan program tersebut telah disampaikan oleh Encik Azaman Harun, Pengerusi Kampung Batu 30 Lebuhraya. Program ini dijangka menjadi platform yang bermanfaat dalam mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan dan masyarakat setempat serta menyampaikan pelbagai perkhidmatan kepada penduduk.
Mesyuarat berakhir sekitar jam 4.00 petang. Semoga usaha memajukan Kampung T**i Gantung dapat diteruskan secara berterusan melalui kerjasama semua pihak demi kesejahteraan, kemajuan dan kemakmuran komuniti setempat.
'Kampung Kita, Wajah Kita'