06/07/2026
PROGRAM WE CARE WE SHARE 2026 : “MENYEMAI KASIH, MEMBINA KESEJAHTERAAN”
Tarikh : 22 Jun 2026 (Isnin)
Masa : 2.00 Petang - 4.30 Petang
Tempat : Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, UPM, Serdang
Perasmi : Prof. Madya Dr. Zulfitri 'Azuan bin Mat Daud
Timbalan Pengarah urusan Sokongan Klinikal / Pengerusi Jawatankuasa Hospital mesra Ibadah, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah
Sasaran peserta: 190 orang terdiri daripada:
1. Pesakit di Wad Hospital (150 orang)
2. Wakil PUSPANITA Daerah Sepang (20 orang)
3. Wakil PAID SEPANG (10 orang)
4. Wakil Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (10 orang)
Bilangan peserta: 120 Orang terdiri daripada:-
1. Pesakit di Wad Hospital (80 orang)
2. Wakil PUSPANITA Daerah Sepang (20 orang)
3. Wakil PAID SEPANG (10 orang)
4. Wakil Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (10 orang)
Objektif :
1. Menyantuni pesakit melalui ziarah dan sokongan emosi
2. Memberi kefahaman tentang kewajipan solat walaupun dalam keadaan sakit
3. Menyampaikan panduan ringkas solat bagi orang sakit
4. Mengeratkan silaturahim antara ahli-ahli PUSPANITA dari pelbagai agensi dengan masyarakat
5. Menerapkan nilai kasih sayang, keprihatinan dan semangat kesukarelawanan tanpa mengira agama dan latar belakang.
Pengisian program:
Program dimulakan dengan ketibaan urus setia dan para peserta di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pada jam 1.15 petang yang diikuti dengan jamuan makan tengah hari. Seterusnya, peserta bersama-sama menunaikan solat Zohor sebelum meneruskan pengisian program.
Majlis rasmi bermula pada jam 2.30 petang dengan ucapan aluan Pengerusi Majlis dan bacaan doa. Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan Ketua Unit Dakwah, Pejabat Agama Islam Daerah Sepang, Ustaz Mohd Hafzi bin Brahim dan ucapan Pengerusi PUSPANITA Daerah Sepang, Puan Nori Idayu binti Ahmad Kanan. Program kemudiannya dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Zulfitri 'Azuan bin Mat Daud, Timbalan Pengarah Urusan Sokongan Klinikal merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hospital Mesra Ibadah, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS). Selepas itu, berlangsung sesi penyampaian cenderahati kepada pihak hospital sebagai tanda penghargaan atas kerjasama yang diberikan.
Sebelum sesi ziarah dimulakan, pihak Hospital Sultan Abdul Aziz Shah telah menyampaikan taklimat ringkas mengenai tatacara ziarah pesakit, pematuhan prosedur hospital serta pembahagian peserta kepada beberapa kumpulan bagi memastikan pelaksanaan program berjalan dengan lancar dan teratur.
Seterusnya, para peserta bergerak ke wad-wad yang telah ditetapkan iaitu Wad Perubatan Pediatrik 1, Wad Perubatan Pediatrik 2, Wad Perubatan Ortopedik 1 dan Wad Perubatan Ortopedik 2. Dalam sesi ziarah tersebut, peserta menyantuni pesakit melalui interaksi mesra, memberi kata-kata semangat, mendoakan kesejahteraan dan kesembuhan mereka serta menyampaikan Kit Ibadah Pesakit dan sumbangan kepada setiap pesakit. Bagi pesakit beragama Islam, turut diberikan panduan ringkas berkaitan pelaksanaan ibadah solat ketika sakit, manakala pesakit bukan Islam turut menerima sumbangan sebagai simbol kasih sayang dan keprihatinan tanpa mengira agama.
Program diakhiri pada jam 4.30 petang dengan sesi minum petang sebelum semua peserta bersurai.