11/08/2026
Islam dijunjung penuh beradab,
Rahmah disebar sepanjang masa,
Agama bukan alat merebut sebab,
Tapi panduan menyatukan bangsa.
ISLAM TIDAK PERNAH DICABAR, HAJI HADI JANGAN JADIKAN AGAMA SEBAGAI ALAT POLITIK
Saya mengambil perhatian terhadap dakwaan Presiden Pas, Haji Hadi Awang yang mengatakan kedudukan Islam dalam Perlembagaan sedang dicabar oleh golongan bukan islam.
Sebagai umat Islam, kita wajib mempertahankan agama Islam. Tetapi mempertahankan Islam bukan dengan menanam ketakutan dan memainkan sentimen rakyat. Islam dipertahankan dengan ilmu, fakta dan keadilan.
Hakikatnya, kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan kekal terpelihara.
Malah, komitmen kerajaan terhadap Islam jelas melalui peningkatan peruntukan hal ehwal Islam:
• 2024: RM1.9 bilion
• 2025: RM2.0 bilion
• 2026: RM2.6 bilion
Persoalannya, sampai bila agama mahu dijadikan modal politik?
Haji Hadi sering kali mendakwa DAP mencabar Islam dan mengganggu-gugat Perlembagaan. Tetapi sehingga hari ini, tuduhan tersebut tidak pernah dibuktikan dengan fakta.
Hanya tuduhan yang diulang-ulang, tetapi bukti tidak pernah dikemukakan.
Lebih pelik, rakyat masih ingat bagaimana suatu ketika dahulu Haji Hadi sendiri pernah memberikan pandangan bahawa kerjasama dengan DAP mempunyai alasan politik tertentu, malah mengeluarkan pendirian yang keras terhadap UMNO.
Tetapi hari ini, daripada mulut yang sama juga, DAP yang dahulu diberikan ruang kini digambarkan sebagai ancaman kepada Islam.
Apakah pendirian agama boleh berubah mengikut keadaan politik?
Kita juga tidak boleh melupakan sejarah bagaimana politik yang terlalu ekstrem dengan memainkan sentimen agama pernah mencetuskan perpecahan sesama umat Islam, malah bibit-bibit perpecahan itu datang daripada kenyataan beliau sendiri suatu ketika dahulu.
Peristiwa Memali menjadi satu titik hitam dalam sejarah negara, apabila perpecahan dan pertumpahan darah sesama Melayu Islam berlaku dalam keadaan yang tidak pernah terbayangkan, berpunca daripada kesan Amanat Haji Hadi yang pernah difatwakan sesat oleh JAKIM suatu ketika dahulu.
Inilah kesannya apabila politik berasaskan kemahuan dan keuntungan parti mengatasi prinsip, sehingga pendirian boleh berubah mengikut kepentingan politik semasa.
ISLAM tidak menjadi kuat dengan fitnah.
MELAYU tidak menjadi kuat dengan ketakutan.
NEGARA tidak menjadi kukuh dengan perpecahan.
Datuk Ashraf Mukhlis Bin Minghat
Pengerusi Parti AMANAH Negara Negeri Melaka
11 Ogos 2026