21/09/2026
DAHULU BERSAMA DALAM IKHTIAR,
KINI BERSAMA DALAM DOA
Setiap pertemuan yang diatur oleh Allah SWT pasti mempunyai hikmah yang tersendiri. Ada insan yang hadir dalam perjalanan hidup kita, meninggalkan kenangan, jasa serta mengajar erti keikhlasan dan pengorbanan.
Alhamdulillah, semalam saya menunaikan solat jenazah serta memimpin bacaan tahlil di tanah perkuburan sebagai tanda penghormatan terakhir buat Allahyarham Haji Raja Ahmad bin Raja Ali (70 tahun), Allahyarhamah Hjh Zaitun binti Mohamad (64 tahun) dan Allahyarham Nik Abdurrahman Azimin Harith (18 tahun).
Turut hadir bersama ialah YB Ustaz Hafez Sabri , Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Tambun, yang sama-sama memberikan penghormatan dan menitipkan doa buat roh-roh Allahyarham dan Allahyarhamah.
Bagi saya, detik ini cukup bermakna kerana suatu ketika dahulu saya pernah bersama Allahyarham dalam perjalanan program Darussyifa. Kami bersama-sama bergerak dari satu tempat ke satu tempat, melaksanakan ikhtiar rawatan dan membantu masyarakat dengan doa serta usaha.
Hari ini, Allah SWT mempertemukan kami dalam suasana yang berbeza. Jika dahulu bersama dalam ikhtiar membantu mereka yang diuji, kali ini saya hadir untuk mengiringi mereka dengan doa dan penghormatan terakhir.
Sesungguhnya setiap perjalanan hidup telah diatur oleh Allah SWT. Segala kebaikan, jasa dan sumbangan seseorang insan akan terus menjadi kenangan buat mereka yang pernah mengenalinya.
Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Haji Raja Ahmad bin Raja Ali, Allahyarhamah Hjh Zaitun binti Mohamad dan Allahyarham Nik Abdurrahman Azimin Harith, mengampuni segala dosa dan kekhilafan, melapangkan kubur mereka serta menempatkan mereka bersama golongan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah.