27/07/2026
LAWATAN DEMO MASAKAN BERSAMA WANGI UTM 👩🍳
25 Julai 2026 (Sabtu) | Puchong, Selangor
Alhamdulillah, Program Lawatan Demo Masakan Bersama WANGI UTM telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya pada 25 Julai 2026 (Sabtu) dengan penyertaan ahli-ahli WANGI UTM dan bukan ahli.
Perjalanan bermula pada 24 Julai 2026 (Jumaat) apabila rombongan bertolak dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada jam 11.00 malam. Rombongan tiba di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya sekitar jam 5.00 pagi bagi menunaikan solat Subuh serta membersihkan diri sebelum meneruskan perjalanan.
Pada jam 7.30 pagi, para peserta menikmati sarapan pagi di Rumah Makan Bumbu, Taman Wetland, Putrajaya sebelum bergerak ke Zaidah Ibrahim Food Sdn. Bhd., Puchong.
Kemuncak program ialah Demo Masakan Eksklusif yang disampaikan oleh Kak Zaidah Ibrahim, yang berkongsi pelbagai tip, teknik dan ilmu masakan yang sangat bermanfaat. Para peserta turut berpeluang menyaksikan demonstrasi secara langsung serta berinteraksi dengan beliau dalam suasana yang mesra dan penuh inspirasi.
Sebagai tanda penghargaan, sesi penyampaian cenderahati telah diadakan, di mana Penaung WANGI UTM, Puan Rozita Abdul, menyampaikan cenderahati kepada Kak Zaidah Ibrahim. Sebagai balasan, Kak Zaidah turut menyampaikan cenderahati kepada Puan Rozita sebagai simbol penghargaan dan jalinan ukhuwah.
Program diteruskan dengan jamuan makan tengah hari, diikuti sesi membeli-belah di showroom Zaidah Ibrahim Food serta cabutan bertuah yang menambahkan lagi kemeriahan program.
Pada sebelah petang, rombongan berpeluang singgah ke GM Klang untuk sesi membeli-belah dan masa bebas sebelum bergerak ke Masjid Jamek China Muslim Klang pada jam 4.00 petang bagi menunaikan solat.
WANGI UTM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Puan Rozita Abdul atas kesudian meluangkan masa serta bersama-sama menyertai program ini sepanjang perjalanan.
Ucapan penghargaan turut ditujukan kepada Kak Zaidah Ibrahim dan seluruh warga Zaidah Ibrahim Food Sdn. Bhd. atas layanan yang mesra, perkongsian ilmu yang sangat bermanfaat serta sambutan yang amat baik kepada rombongan WANGI UTM.
Tidak dilupakan, jutaan terima kasih kepada semua Ahli Jawatankuasa dan urus setia yang telah bertungkus-lumus merancang dan menjayakan program ini. Komitmen, kerjasama dan semangat berpasukan yang ditunjukkan telah memastikan program berlangsung dengan lancar dan mencapai objektifnya.
Semoga program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi mengeratkan silaturahim, memperkaya ilmu serta memberikan pengalaman yang bermakna kepada seluruh warga WANGI UTM.
“Bersama Melangkah, Berkongsi Ilmu, Mengeratkan Ukhuwah.” 💜