28/09/2025
TEGURAN PRESIDEN STAR SABAH TERHADAP CAMPUR TANGAN PERSEKUTUAN DALAM PERUNDANGAN
KOTA KINABALU: 28 September 2025 – Presiden STAR Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, menyambut baik kenyataan yang baru-baru ini dikeluarkan oleh Tuan Yang Terutama Gabenor Sarawak mengenai pencerobohan berterusan kuasa persekutuan ke dalam bidang kuasa negeri.
“Pendirian Tuan Yang Terutama mengenai Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 mencerminkan kebimbangan yang telah lama kami kongsikan di Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Namun, bagi Sabah, isu ini tidak terhad kepada minyak dan alam sekitar. Terdapat undang-undang persekutuan lain juga telah melucutkan kuasa, dan hasil yang sepatutnya menjadi hak kami,” katanya.
Menurut Jeffrey, isu itu jauh melangkaui bidang petroleum dan alam sekitar. Beliau menegaskan bahawa beberapa undang-undang persekutuan lain telah melucutkan kuasa Sabah dan hasil yang sepatutnya menjadi hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau menyoroti beberapa akta penting yang menjadi punca kebimbangan utama:
• Akta Laut Wilayah 2012: Akta ini secara unilateral mengurangkan sempadan maritim Sabah kepada tiga batu nautika, menyebabkan negeri kehilangan kawalan ke atas sumber luar pesisirnya.
• Akta Perikanan 1985: Akta ini memusatkan pelesenan marin di bawah Putrajaya, sekaligus melemahkan kuasa Sabah ke atas mata pencarian masyarakat pesisirnya. Beliau turut menegaskan bahawa penurunan kuasa pelesenan yang berlaku baru-baru ini adalah tidak bermakna, kerana Sabah masih terikat kepada undang-undang persekutuan dan bergantung kepada budi bicara persekutuan.
• Akta Bekalan Elektrik 1990: Akta ini menghapuskan kedaulatan Sabah ke atas bekalan kuasa sendiri, menyebabkan negeri bergantung kepada agensi persekutuan dan keputusan luar.
“Ini bukan satu-satunya undang-undang yang telah menghakis autonomi Sabah. Terdapat undang-undang lain yang perlu dikenal pasti dan dicabar, oleh sebab itu kajian perundangan dan perlembagaan yang sewajarnya perlu dijalankan untuk mendedahkan sepenuhnya sejauh mana pencerobohan ini,” tegas Jeffrey.
Beliau menyifatkan campur tangan persekutuan itu sebagai punca kemiskinan, kelemahan, dan kebergantungan Sabah, yang mana bertentangan dengan janji-janji yang termaktub dalam MA63.
Sebagai respons kepada keadaan ini, Jeffrey menyeru tiga tindakan segera:
1. Semakan Bersama: Sabah dan Sarawak perlu menjalankan semakan bersama terhadap semua undang-undang persekutuan yang melanggar pembahagian kuasa perlembagaan.
2. Pemulihan Hasil: Pemulihan penuh hak hasil, termasuk pembayaran 40% hasil bersih yang perlu dibayar kepada Sabah.
3. Perlindungan Parlimen: Perlindungan parlimen yang mengikat bagi mencegah sebarang pencerobohan persekutuan selanjutnya.
Jeffrey menegaskan bahawa hak Sabah bukanlah ihsan dari Putrajaya, tetapi obligasi yang telah ditandatangani, dijanjikan, dan sudah lama tertunggak. Beliau menyatakan bahawa sebagai anak Sabah, beliau bertekad untuk memastikan hak-hak negeri dikuatkuasakan, kedaulatannya dihormati, dan masa depannya terjamin.
G-Admin