14/06/2026
12 JUN 2026 | SAMBUTAN HARI PALANG MERAH DAN BULAN SABIT MERAH SEDUNIA 2026 (Sorotan Video Ringkas)
Bulan Sabit Merah Malaysia Negeri Sabah telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia 2026 di Port View Hakka Hall, Kota Kinabalu. Majlis penuh bermakna ini telah menghimpunkan seramai 350 orang tetamu yang terdiri daripada sukarelawan, ahli, pegawai, rakan strategik, penaja dan jemputan khas dari seluruh Negeri Sabah bagi bersama-sama meraikan semangat kemanusiaan dan kesukarelawanan yang menjadi tunjang kepada Gerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa.
Sambutan ini diadakan sempena Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia yang diraikan pada 8 Mei setiap tahun bagi memperingati hari kelahiran Henry Dunant, pengasas kepada Gerakan Palang Merah Antarabangsa serta penerima pertama Hadiah Nobel Keamanan. Sambutan ini turut menjadi simbol penghargaan kepada jutaan sukarelawan dan petugas kemanusiaan di seluruh dunia yang berkhidmat dengan penuh dedikasi dalam membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira bangsa, agama, fahaman politik atau latar belakang.
Majlis bersejarah ini telah disempurnakan dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman, Yang di-Pertua Negeri Sabah, selaku Tetamu Kehormat Majlis. Kehadiran Tuan Yang Terutama pada majlis ini merupakan satu penghormatan yang amat bermakna serta mencerminkan penghargaan dan pengiktirafan Kerajaan Negeri terhadap jasa, pengorbanan dan komitmen para sukarelawan Bulan Sabit Merah Malaysia yang telah berkhidmat tanpa mengenal penat lelah demi kesejahteraan masyarakat.
Turut hadir ialah YB Datuk Rina Haji Jainal, Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, mewakili YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah.
Sebagai tanda penghargaan terhadap dedikasi dan sumbangan para sukarelawan dalam menjayakan misi kemanusiaan, sebanyak 121 pingat dan sijil penghargaan bagi tempoh tahun 2023 hingga 2025 telah disampaikan kepada penerima yang layak.
Antara anugerah yang disampaikan ialah Pingat Perkhidmatan Cemerlang, Pingat Kebaktian Terpilih, Pingat Jasa Terpuji, Pingat Perkhidmatan Lama, Bar Pingat Perkhidmatan Lama, Pingat Jasa Terpuji Belia, Sijil Kepujian dan Sijil Kepujian Belia.
Majlis turut diserikan dengan pelbagai persembahan yang mempamerkan keunikan budaya dan bakat tempatan, antaranya persembahan daripada Kumpulan Budayawan, Gendang 24 Musim, Apai Duo Busker, serta persembahan istimewa oleh Christal Ann Stephen, Juara Sugandoi Negeri Sabah 2026, yang telah berjaya memeriahkan suasana sepanjang majlis berlangsung.
Penganugerahan ini merupakan pengiktirafan terhadap individu-individu yang telah menunjukkan kecemerlangan, kesetiaan, kepimpinan dan komitmen tinggi dalam melaksanakan pelbagai aktiviti kemanusiaan, bantuan bencana, kesihatan komuniti serta khidmat sukarela di seluruh Negeri Sabah.
Bulan Sabit Merah Malaysia Negeri Sabah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah, rakan strategik, penaja korporat, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan seluruh warga sukarelawan yang terus menyokong usaha-usaha kemanusiaan demi kesejahteraan masyarakat.