14/08/2026
MANTAPPP YB😘😘
TERKINI | Ada sebahagian guru-guru tidak dapat membawa anak murid untuk beberapa pertandingan dan acara di Semenanjung Malaysia,” demikian luah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, YB Datuk Dr. Aliakbar Gulasan, berhubung isu kenaikan harga tiket penerbangan Sabah-Semenanjung.
Beliau berkata, isu harga tiket yang semakin tinggi perlu diberi perhatian serius Kerajaan Persekutuan kerana bukan sahaja membebankan rakyat, malah menjejaskan urusan antara Sabah dan Semenanjung.
Dalam video berdurasi dua minit yang dikongsikannya semalam, beliau mengutus surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri di JPM (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, supaya tindakan segera diambil.
“Saya beranggapan Kerajaan Malaysia mesti mengambil berat isu ini. Sebab ia melibatkan urusan rakyat di antara dua wilayah. Antara maklum balas yang kami terima, ada sebahagian guru-guru tidak dapat membawa anak murid untuk beberapa pertandingan dan acara di Semenanjung Malaysia,” katanya.
Aliakbar berkata, harga tiket yang tinggi turut menyebabkan pelajar universiti sukar pulang ke kampung bertemu ibu bapa ketika cuti, selain anggota tentera yang mahu bertemu keluarga di Semenanjung.
“Anak-anak yang bercuti di universiti tidak dapat balik kampung bertemu ibu bapa mereka. Ada dalam kalangan angkatan tentera yang mahu bercuti dan bertemu ibu bapa di Semenanjung ataupun di antara Sabah dengan Semenanjung, tidak dapat bertemu akibat halangan kos yang terlalu tinggi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan segera kerana isu berkenaan turut melibatkan peniaga dan pelbagai segmen masyarakat. “Ini agenda masyarakat yang cukup penting yang boleh menjadikan hubungan di antara dua wilayah Sabah dan Semenanjung Malaysia bertambah baik,” katanya.