01/12/2025
Terima Kasih Sabah, Perjuangan Kasi Bagus Sabah Belum Selesai.
Pertama sekali, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada seluruh pengundi dan penyokong Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17. Sokongan dan kepercayaan anda semua memberi semangat baharu untuk kami terus bekerja keras demi masa depan Sabah yang lebih baik.
Tidak dilupakan, setinggi penghargaan kepada seluruh jentera PN yang bertungkus-lumus siang dan malam serta pimpinan pusat yang sentiasa memberi sokongan padu sepanjang tempoh kempen dan perjuangan ini. Usaha dan pengorbanan anda adalah nadi kepada kekuatan kita bersama.
Pada kesempatan ini, saya juga ingin merakamkan sekalung ucapan tahniah kepada YB Datuk Dr. Aliakbar Gulasan atas kemenangan kerusi PN di N.16 Karambunai. Kejayaan ini adalah tanda kepercayaan rakyat dan amanah besar yang perlu dijunjung demi memastikan suara rakyat terus diperjuangkan.
Saya juga ingin memohon ampun dan maaf sekiranya sepanjang tempoh berkempen ada terkasar bahasa atau ada kelemahan daripada pihak saya. Saya mohon maaf atas segala kekurangan yang berlaku. Semoga apa jua perkara yang timbul dapat kita akhiri dengan semangat kekeluargaan dan perpaduan demi negeri tercinta kita ini.
Kepada semua penyokong dan anak muda Sabah perjalanan kita masih jauh. Perjuangan Kasi Bagus Sabah belum selesai. Kita akan terus bekerja, terus berjuang dan terus memastikan Sabah mendapat kebagusan yang sepatutnya.
Akhir kata, Terima Kasih Sabah. Bersama kita teruskan perjuangan. Jangan sesekali berputus asa. Kita akur dan hormati keputusan
Kasi Bagus Sabah.
KHAIRIL ANWAR
Naib Ketua Armada BERSATU Negeri Sabah
Ketua Armada BERSATU Sepanggar