27/08/2026
26 April 2026 – Program “TELAAH” Siri 2/2026 anjuran Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, telah diadakan di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Kampus Pauh Putra, Perlis.
Program ini turut dihadiri oleh Dekan Fakulti Al-Quran dan Sunnah (FQS), Encik Muaz bin Mohd Ghani Basri, yang mewakili pihak Naib Canselor UniSIRAJ, Ketua Pustakawan UniSIRAJ, Encik Abdul Latef bin Alhadri, serta Puan Nor Athirah binti Azemi. Kehadiran wakil UniSIRAJ ini adalah sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif pembudayaan ilmu dan perkongsian intelektual yang dilaksanakan oleh pihak UniMAP.
Program “TELAAH” merupakan satu inisiatif yang berfokus kepada usaha menyemarakkan budaya membaca serta memperkasakan perbincangan intelektual berasaskan ilmu dalam kalangan warga universiti dan masyarakat. Program ini turut menjadi platform untuk mengetengahkan karya-karya yang mempunyai nilai ilmu, budaya dan kesusasteraan sebagai bahan perbincangan serta perkongsian ilmu.
Bagi siri kali ini, bahan yang dibincangkan bertajuk “Awang Batil: Tradisi Lisan Perlis – Menyulam Cerita, Memahat Warisan” yang disampaikan bersama Encik Mohamad Abdul Halim, Munsyi Dewan (Bahasa)/ Guru Bahasa Kanan dan Tuan Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar selaku moderator program.
Secara keseluruhannya, penyertaan dalam Program “TELAAH” Siri 2/2026 ini memberikan pendedahan dan manfaat kepada warga UniSIRAJ dalam memperkukuh budaya membaca, memperluas pengetahuan serta menggalakkan perkongsian ilmu dan wacana intelektual. Program seumpama ini juga dapat menjadi medium untuk mempererat hubungan kerjasama dan jaringan profesional antara UniSIRAJ dan institusi pengajian tinggi lain.
DI SINI PENCINTA SUNNAH DILAHIRKAN