Dewan Ulama PAS Terengganu

Dewan Ulama PAS Terengganu Ilmu Iman Amal. Beristiqamah Hingga Kemenangan. Dewan Ulama PAS Terengganu terbuka kepada semua masyarakat tidak kira agama, kaum dan bangsa.

Fasa Baharu Perang Republik Islam Iran – Amerika Syarikat – Negara Haram “Isr4 Hell”https://www.facebook.com/share/1HUfJ...
28/07/2026

Fasa Baharu Perang Republik Islam Iran – Amerika Syarikat – Negara Haram “Isr4 Hell”

https://www.facebook.com/share/1HUfJZXv16/

Media Barat kini melaporkan bahawa Amerika Syarikat telah membuka ruang sekali lagi untuk meneruskan agenda MoU yang dimenterai dengan Republik Islam Iran dan ingin menguatkuasakan kembali gencatan senjata setelah ianya dicabuli dalam serangan yang berlarutan selama 13 hari.

Dakwaan itu dikuatkan lagi apabila media-media utama Barat melaporkan bahawa ketika lawatan Perdana Menteri Iraq Ali al-Zaidi ke Republik Islam Iran pada 23 Julai lalu menemui Presiden Republik Islam Iran Masoud Pezeshkian, beliau didakwa telah menyerahkan pelan Amerika Syarikat untuk mengadakan gencatan senjata selama 10 hari dengan Republik Islam Iran.

Bagaimanapun Republik Islam Iran didakwa telah menolak rancangan gencatan senjata tersebut dan dengan tegas menyatakan bahawa ia tidak lagi terikat dengan MoU yang ditandatangani dengan Amerika Syarikat dan akan membalas setiap serangan Amerika Syarikat yang dihalakan ke atas Republik Islam Iran.

Akibatnya, berlaku kemusnahan yang lebih besar ke atas pengkalan tentera dan fasiliti ketenteraan Amerika Syarikat di Kuwait, Bahrain, Jordan dan di Erbil, wilayah Kurdistan, Iraq. Angka korban dan kecederaan di kalangan anggota tentera Amerika Syarikat terus meningkat walaupun angka sebenar dirahsiakan.

Lebih memburukkan lagi keadaan, kumpulan Ansarullah kini teleh menyertai peperangan dan telah mengenakan sekatan ke atas Arab Saudi dari menggunakan Bab Al-Mandab untuk mengeskport minyak mentahnya. Berikutan itu, tentera Arab Saudi telah melancarkan serangan ke atas Sana’a dan Hodeidah di Yaman, namun serangan balas Yaman telah menggemparkan Asia Barat.

Dua hari lalu, tentera Yaman ( Ansarullah ) telah melancarkan serangan peluru berpandu balistik dan dron ke atas fasiliti ARAMCO di Pusat Perindustrian dan Ekonomi Jizan di Arab Saudi dan dilaporkan berlakunya kemusnahan besar ke atasnya. Sehingga hari ini dilaporkan asap tebal masih berterusan menyelebungi fasiliti tersebut dan kebakaran masih lagi berlaku. Fasiliti ARAMCO di Jizan antara yang terbesar di Asia Barat memproses sekurang-kurangnya 400,000 tong minyak mentah sehari dan mampu menjana sekurang-kurangnya 3.8 gigawatt tenaga eletrik.

Perkembangan terkini yang berlaku menyebabkan harga minyak mentah dunia melonjak kembali ke paras melebihi USD 100 setong walaupun ia turun sedikit setelah Amerika Syarikat mengumumkan ia telah mengantung serangan ke atas Republik Islam Iran.

Terbaharu, kumpulan pejuang pro-Iran di Iraq juga didakwa telah melancarkan serangan ke atas loji pemprosesan minyak dan gas ARAMCO di Abaqaiq, Arab Saudi,. Tentunya serangan ini memberi lebih tekanan kepada negara-negara Teluk untuk memaksa Amerika Syarikat menggantung serangannya ke atas Republik Islam Iran.

Mengapa Amerika Syarikat menangguhkan serangan besar-besaran ke atas Republik Islam Iran ?

Mengikut laporan, Naib Presiden Amerika Syarikat JD Vance, Ketua Turus Angkatan Tentera Amerika Syarikat Jeneral Dan Caine, Komander CENTCOM Admiral Brad Cooper dan pemimpin-pemimpin utama tentera Amerika Syarikat telah berjaya meyakinkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump agar tidak meneruskan rancangannya menyerang Republik Islam Iran dalam mesyuarat terbaharu di Rumah Putih pada Jumaat lalu.

Antara kebimbangan Amerika Syarikat ialah:

1. Peningkatan besar keupayaan dan ketepatan serangan peluru berpandu balistik hipersonik Iran.

2. Amerika Syarikat menuduh Rusia dan China membantu Republik Islam Iran dalam penentuan koordinasi satelit yang lebih tepat akan sasaran yang bakal diserang IRGC/Tentera Iran.

3. Pengurangan drastik bekalan peluru berpandu sistem pertahanan udara Patriot dan THAAD.

4. Kemusnahan besar sistem radar, sistem pengesanan awal serangan, peralatan kenteraan dan pengkalan tentera serta fasiliti ketenteraan Amerika Syarikat.

5. Sekatan ( Naval Blockade ) dan serangan udara yang dilancarkan ke atas Republik Islam Iran tidak berjaya melumpuhkan kekuatan ekonomi dan ketenteraan Republik Islam Iran.

6. Selat Hormuz tidak berjaya “dibebaskan” oleh tentera Amerika Syarikat daripada gengaman IRGC/Tentera Iran.

Namun begitu, Republik Islam Iran dan sebahagian besar masyarakat dunia kini sudah tidak percaya lagi “putar belit” Amerika Syarikat dibawah pentadbiran Donald Trump. Apatah lagi kini Perdana Menteri negara haram “Isr4 Hell” Benjamin Netanyahu dalam perjalanan ke Washington DC untuk menemui Donald Trump, segala-galanya boleh berubah. Sekelip mata sahaja setelah menemui Benjamin Netanyahu, Donald Trump tiba-tiba sahaja boleh mengarahkan tentera Amerika Syarikat untuk melancarkan serangan besar-besaran ke atas Republik Islam Iran.

Donald Trump kini menghadapi dilema besar apatah lagi dalam menghadapi pilihanraya “mid term” pada November ini. “Disapproval rating” untuk Donald Trump telah melonjak kepada 56 peratus dan sebahagian besar daripadanya akibat perang dengan Republik Islam Iran. Dalam beberapa piliharaya kecil sebelum ini, calon parti Republikan telah kalah teruk kepada calon parti Demokrat dengan kini sokongan kepada parti Demokrat kembali melonjak dengan angka yang agak besar antara 6 – 11 peratus berbanding parti Republikan.

Natijahnya, apakah Benjamin Netanyahu mampu mengubah fikiran Donald Trump untuk kembali menyerang Republik Islam Iran walaupun dalam kekangan kekuatan ketenteraan ? Atau adakah ini permulaan buat Amerika Syarikat untukf mengundurkan diri dari konflik di Asia Barat dan membiarkan negara haram Israel “berseorangan” menghadapinya ?

“Bebaskan Masjid Al-Aqsa, Merdekakan Palestin”

YB Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk.
12 Safar 1448H / 28 Julai 2026.

30/06/2026

KENYATAAN MEDIA PAS PUSAT

PILIHAN RAYA NEGERI JOHOR

Mesyuarat Khas PAS Pusat yang diadakan pada hari ini, Isnin 29 Jun 2026, telah membuat ketetapan seperti berikut;

i. Mempertahankan kuasa politik Melayu Islam di Negeri Johor;
ii. Menggerakkan seluruh jentera PAS di 11 kerusi yang ditandingi;
iii. Menyantuni seramai mungkin pengundi dari segenap lapisan masyarakat dengan slogan “Jom Jaga Johor”;
iv. Menyeru pengundi tidak memberikan undi kepada Pakatan Harapan, termasuk di kerusi yang menyaksikan pertembungan dua penjuru melibatkan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan;
v. Menggerakkan persiapan awal bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.

“KEMBALI KEPADA PENYELESAIAN ISLAM”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 14 Muharram 1448 / 29 Jun 2026

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Yang Maha PenyangSempena tahun baru Maal Hijrah 1448 Dewan Ulamak Negeri Tereng...
16/06/2026

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Yang Maha Penyang

Sempena tahun baru Maal Hijrah 1448 Dewan Ulamak Negeri Terengganu mengucapkan selamat menyambut tahun baru hijri kepada seluruh umat Islam dengan harapan dan doa moga tahun baru 1448H ini akan menyatukan hati- hati kita dengan tali Allah, dan membawa seribu rahmat dan kesejahteraan kepada semua.

كل عام وأنتم بخير

14/06/2026

KENYATAAN MEDIA
DEWAN ULAMAK PAS PUSAT

KEPUTUSAN MAHKAMAH TINGGI KUALA LUMPUR TOLAK PERMOHONAN INDIRA GANDHI: SATU KEMENANGAN DALAM MEMPERTAHANKAN KESUCIAN AKIDAH

1. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) merafak syukur ke hadrat Allah SWT atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah menolak permohonan Indira Gandhi dan 13 individu lain. Permohonan yang bertujuan mencabar dan membatalkan peruntukan undang-undang membenarkan pengislaman kanak-kanak bawah umur 18 tahun tanpa persetujuan kedua-dua ibu bapa ini, akhirnya tidak berjaya di peringkat Mahkamah Tinggi. Keputusan ini merupakan satu kelegaan besar dan kemenangan moral serta perundangan bagi institusi Islam di negara ini.

2. DUPP menyambut baik ketegasan mahkamah dalam meneliti isu ini. Dari sudut hukum syarak, penentuan agama anak-anak bagi ibu bapa yang memeluk Islam telah dibahaskan secara mendalam oleh para ulama dalam kitab-kitab muktabar. Memetik kaedah fiqh yang masyhur berpandukan hadis Nabi SAW, "Al-Islam ya’lu wala yu’la ‘alaih" (Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya).

3. Menurut perbahasan para fuqaha' khususnya dalam Mazhab as-Syafie (seperti yang dinukilkan dalam kitab Mughni al-Muhtaj dan Tuhfat al-Muhtaj), apabila salah seorang daripada ibu bapa memeluk Islam, maka anak yang masih di bawah umur (belum baligh) secara automatik akan mengikut agama ibu atau bapa yang beragama Islam tersebut.

4. Hal ini selari dengan hadis Nabi SAW yang menyatakan setiap anak dilahirkan atas fitrah. Hukum ini diletakkan demi memelihara Maslahah Ad-Din (memelihara agama) yang merupakan rukun terpenting dalam Maqasid Syariah, bagi memastikan anak tersebut berpeluang membesar dalam syariat Islam dan aqidah tauhid.

5. DUPP ingin memberikan peringatan yang tegas kepada seluruh umat Islam bahawa usaha dan percubaan untuk mencabar kedudukan undang-undang syariah dan perundangan Islam di negara ini tidak akan pernah terhenti. Ia adalah suatu sunnatullah yang telah dirakamkan di dalam Al-Quran dan terbukti di lipatan sirah. Firman Allah SWT dalam Surah As-Saff, ayat 8:

"Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak s**a (akan yang demikian)."

6. Sejarah sentiasa mengajar kita bahawa pihak-pihak yang kurang senang dengan kedudukan Islam akan sentiasa mencari ruang untuk merungkai sedikit demi sedikit keistimewaan syariat Islam. Oleh itu, umat Islam tidak boleh alpa dan leka dengan kemenangan hari ini.

7. Sehubungan dengan itu, DUPP mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada barisan peguam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) serta semua pihak yang telah bertungkus-lumus berhujah di mahkamah. Usaha gigih, ketelitian, dan keikhlasan tuan-tuan dalam mempertahankan undang-undang syariah telah membuahkan hasil yang amat bermakna buat seluruh umat Islam di Malaysia. Tuan-tuan adalah perisai agama yang didoakan sentiasa dirahmati Allah SWT.

8. DUPP juga menyeru agar kerajaan persekutuan dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) untuk terus proaktif dalam meneliti, memperkemas, dan menambah baik polisi-polisi sedia ada (termasuk Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri-negeri) agar kelompongan perundangan ditutup sepenuhnya. Langkah-langkah untuk mewujudkan sistem sokongan dan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih mantap perlu diusahakan bagi membela nasib saudara baru (mualaf) terutamanya yang melibatkan kebajikan dan akidah anak-anak mereka agar terpelihara dari sebarang ancaman luar.

9. DUPP juga menyeru seluruh umat Islam, NGO, dan pemimpin masyarakat bersatu hati tanpa mengira perbezaan politik dalam apa jua isu yang menyentuh kedaulatan Islam dan syariah. DUPP akan terus komited menjadi benteng pertahanan akidah umat Islam di negara ini. Kita tidak akan berganjak walaupun seinci dalam mempertahankan apa jua peruntukan yang memartabatkan agama Islam di bumi Malaysia ini.

Sekian.

YB DATO’ USTAZ MOHD NOR BIN HAMZAH
Ketua Penerangan,
Dewan Ulamak PAS Pusat.

14 Jun 2026 Miladi bersamaan 28 Zulhijjah 1447 Hijri

KENYATAAN RASMI DEWAN ULAMAK PAS NEGERI TERENGGANU KEPUTUSAN MAHKAMAH TINGGI KUALA LUMPUR TOLAK PERMOHONAN INDIRA GANDHI...
14/06/2026

KENYATAAN RASMI
DEWAN ULAMAK PAS NEGERI TERENGGANU

KEPUTUSAN MAHKAMAH TINGGI KUALA LUMPUR TOLAK PERMOHONAN INDIRA GANDHI: PERKUKUH PENYATUAN UMMAH DEMI MEMPERTAHANKAN AKIDAH

1. Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu (DUPNT) menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat, 12 Jun 2026, yang telah menolak permohonan Indira Gandhi dan 13 individu lain berhubung cabaran terhadap peruntukan undang-undang yang membenarkan pengislaman kanak-kanak bawah umur 18 tahun tanpa persetujuan kedua-dua ibu bapa.

2. DUPNT turut menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan rasmi Dewan Ulamak PAS Pusat dalam isu yang sama, khususnya berhubung kedudukan keputusan ini sebagai satu kelegaan besar kepada umat Islam serta kemenangan moral dan perundangan dalam mempertahankan kesucian akidah, kedudukan Islam dan autoriti undang-undang syariah di negara ini.

3. Secara ringkasnya, kes ini bermula apabila M. Indira Gandhi bersama 13 individu lain memfailkan saman pemula pada Mac 2023 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar peruntukan undang-undang di beberapa negeri dan Wilayah Persekutuan yang membenarkan pengislaman anak bawah umur 18 tahun oleh salah seorang ibu atau bapa. Cabaran tersebut melibatkan peruntukan berkaitan di Johor, Perlis, Melaka, Kedah, Negeri Sembilan, Perak dan Wilayah Persekutuan.

4. Dalam hal yang telah diperincikan oleh Dewan Ulamak PAS Pusat berkaitan asas hukum syarak, perbahasan fuqaha’ dan kepentingan memelihara agama, DUPNT menegaskan sokongan terhadap pendirian tersebut. Prinsip pemeliharaan agama atau hifz al-din wajib terus menjadi asas penting dalam apa jua tindakan yang menyentuh akidah umat Islam, khususnya masa depan anak-anak Muslim. Firman Allah SWT dalam Surah al-Saff, ayat 8 yang bermaksud: “Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak s**a.”

5. DUPNT ingin menegaskan bahawa dari sudut siasah syar‘iyyah, isu akidah adalah isu asas dan pokok dalam Islam yang sepatutnya mampu menguatkan kesatuan umat Islam sebagai satu ummah. Ia bukan sekadar persoalan individu, bahkan berkait langsung dengan maslahah agama, kekuatan institusi Islam dan masa depan generasi Muslim.

6. Justeru, DUPNT mengajak seluruh rakyat Terengganu, umat Islam, NGO Islam, institusi agama, para ilmuwan dan pemimpin masyarakat agar terus cakna terhadap isu-isu akidah, memperkukuh kefahaman Islam dalam keluarga dan masyarakat, serta bersama-sama mempertahankan kedudukan Islam dengan kesatuan suara, kesatuan sikap dan kesatuan tindakan, sebagaimana yang sewajarnya dijamin, dipelihara dan dimartabatkan dalam kerangka perundangan negara.

7. DUPNT merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan peguam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) serta semua pihak yang telah bertungkus-lumus mempertahankan kedudukan undang-undang syariah di mahkamah. Dalam masa yang sama, DUPNT menyeru agar usaha memperkemas polisi, sistem sokongan dan prosedur berkaitan kebajikan saudara baharu serta pemeliharaan akidah anak-anak mereka terus diberi perhatian oleh pihak berautoriti di peringkat Persekutuan dan negeri masing-masing.

“Ulamak Rabbani Pemangkin Penyatuan & Penyelesaian Islam”

Prof. Madya Dr. Haji Wan Mat Sulaiman
Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu
28 Zulhijjah 1447 Hijri bersamaan 14 Jun 2026 Miladi

KENYATAAN RASMIDEWAN ULAMAK PAS NEGERI TERENGGANUTA‘AWUN SIYASI DEMI KELANGSUNGAN AGENDA PERPADUAN UMMAHDewan Ulamak PAS...
09/06/2026

KENYATAAN RASMI
DEWAN ULAMAK PAS NEGERI TERENGGANU

TA‘AWUN SIYASI DEMI KELANGSUNGAN AGENDA PERPADUAN UMMAH

Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu menerima keputusan pucuk pimpinan PAS Pusat dengan penuh redha dan akur, serta yakin bahawa itulah keputusan terbaik demi kelangsungan agenda ta‘awun siyasi Islam-Melayu yang lebih luas. Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu melihat keputusan ini adalah wajar berasaskan beberapa sebab berikut:

1- Keputusan yang dibuat adalah berdasarkan kepada dapatan analisa laporan dan kajian terhadap perkembangan politik semasa.

2- Kerjasama PAS, Bersatu dan juga parti-parti lain dalam PN adalah berdasarkan prinsip ta‘awun siyasi, yang bermatlamat untuk membentuk kerjasama dan gabungan politik Islam-Melayu yang lebih luas. Apabila didapati Bersatu menjadi penghalang kepada usaha ini dengan menolak kemas**an parti Melayu-Islam lain ke dalam PN, maka matlamat utama ta‘awun siyasi terhalang.

3- Dari sudut fiqh siyasi, kerjasama politik mestilah berteraskan prinsip saling tolong-menolong dalam mencapai matlamat bersama, dengan cara mengambil keputusan bersama terutama dalam membuat tindakan yang mempunyai kepentingan bersama, saling hormat-menghormati dasar dan agenda parti masing-masing. Apabila konsep ta‘awun ini dilanggar sepertimana yang berlaku di Perlis dan Negeri Sembilan, ia sekali lagi telah merungkai tali ikatan ta‘awun siyasi tersebut.

4- Dalam konteks siasah syar‘iyyah juga, konsep ta‘awun siyasi adalah berbentuk fleksibel, strategik dan terbuka yang diikat dengan matlamat utama bersama atau maslahat umum, demi membina kekuatan perpaduan Islam yang lebih luas dan demi kebaikan bersama. Namun, apabila dilihat dengan bukti yang nyata dan jelas bahawa matlamat ini diabaikan, apatah lagi apabila keputusan tersebut jelas memberi kesan negatif dan buruk kepada rakan ta‘awun, maka wajar dibuat penilaian semula.

5- Agenda besar PAS dalam menjalinkan kerjasama politik dengan prinsip ta‘awun siyasi bersama parti-parti lain ialah bagi mengelakkan perpecahan Islam-Melayu dan membina perpaduan sepertimana yang dimaktubkan dalam Muafakat Nasional sebelum ini. Dalam Perikatan Nasional dan lain-lain, PAS tak pernah berganjak dari agenda perpaduan ummah ini, malah banyak berkorban demi menuju ke arah matlamat besar ini. Ketika mana berada dalam MN, PAS sentiasa mengalu-alukan rakan ta‘awun lain selain UMNO ketika itu termasuk Bersatu. Begitu jugalah sekarang dalam PN, PAS tetap dengan prinsip yang sama, mengalu-alukan parti Melayu lain bersama bagi menguatkan agenda perpaduan ini.

Apabila rakan ta‘awun sudah berada pada posisi yang menjadi penghalang kepada agenda perpaduan ummah dan berkeras dengan pendirian mereka untuk menyekat kemas**an parti-parti lain ke dalam PN, maka pendirian tersebut sudah tidak lagi seiring dengan tujuan utama ta‘awun siyasi melalui PN ini diwujudkan.

Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu menyeru seluruh ahli dan pendukung perjuangan agar menerima keputusan PAS Pusat dengan jiwa besar, penuh wala’ dan thiqah kepada kebijaksanaan pimpinan. Insya-Allah, apa jua yang diputuskan adalah selari dengan prinsip perjuangan Islam dan kepentingan penyatuan ummah.

Maka didoakan moga PAS terus melangkah bersama rakan ta‘awun lain demi membina perpaduan politik Islam-Melayu yang merupakan kaum bumiputera yang majoriti di bumi Malaysia ini.

“Ulamak Rabbani Pemangkin Penyatuan & Penyelesaian Islam”

PROF. MADYA DR. WAN MAT SULAIMAN
Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu

9 Jun 2026 Miladi bersamaan 23 Zulhijjah 1447 Hijri

09/06/2026

Kenyataan Media
Dewan Ulamak PAS Pusat

SOKONG PENDIRIAN PAS PUSAT, PRINSIP TA'AWUN SIYASI MESTI MENDUKUNG GAGASAN PENYATUAN UMMAH

Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mendukung penuh pendirian PAS Pusat untuk menamatkan kerjasama politik dengan parti Bersatu. Pendirian itu susulan daripada kenyataan Tuan Guru Tan Sri Presiden PAS yang sebelumnya menyatakan hasrat mengkaji semula hubungan politik dengan parti tersebut.

DUPP ingin menegaskan bahawa kerjasama PAS dan Bersatu adalah berasaskan kepada ta'awun siyasi yang bertitik tolak daripada prinsip tolong-menolong atas dasar kebaikan. Seharusnya prinsip ini menjadi dukungan utama terhadap agenda teras yang diperjuangkan PAS secara konsisten sejak sekian lama iaitu gagasan penyatuan ummah.

Agenda untuk memperjuangkan gagasan penyatuan ummah ini adalah teras utama politik dan formula yang lebih ampuh bagi meruntuhkan wacana politik PH-DAP. Ia wajar digerakkan secara konsisten apatah lagi kesiapsiagaan jentera bagi menghadapi pilihan raya yang lebih strategik.

Namun, apabila kerjasama politik ini tidak menatijahkan kepada penyatuan ummah yang lebih besar, tambahan lagi terdapat halangan-halangan tertentu, maka pendirian yang dinyatakan oleh PAS Pusat ini hadir tepat pada masanya.

DUPP ingin menyeru seluruh anggota abnaul harakah agar menerima keputusan PAS Pusat dengan jiwa besar. InsyAllah apa jua yang diputuskan hari ini adalah selari dengan prinsip perjuangan Islam. PAS tidak akan berundur, bahkan akan terus melangkah lebih gagah insyAllah.

Sekian.

YB USTAZ DATO’ HJ AHMAD BIN YAHAYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Pokok Sena

9 Jun 2026 Miladi bersamaan 23 Zulhijjah 1447 Hijri

08/06/2026

KENYATAAN MEDIA PAS PUSAT

KERJASAMA POLITIK PAS–BERSATU

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang diadakan pada hari ini, Isnin 8 Jun 2026, telah membuat ketetapan seperti berikut:

i. Memperakukan keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada 2 Jun 2026 berhubung pertimbangan dasar, hukum dan maslahah kerjasama politik PAS, atas prinsip penyatuan ummah;

ii. Meneliti kedudukan dan hala tuju kerjasama politik PAS–BERSATU berdasarkan laporan, kajian dan penilaian semasa;

iii. Menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU;

iv. Meneroka suatu bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya (electoral pact) demi penyatuan ummah, bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum ke-16; dan

v. Menerima hasrat tokoh-tokoh akademik, profesional, pemimpin politik, dan aktivis masyarakat untuk menyertai PAS.

“Kembali Kepada Penyelesaian Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 22 Zulhijjah 1447 / 8 Jun 2026

“Selamat Hari Raya Aidiladha 1447H. Semoga semangat pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan ketaatan Nabi Ismail AS terus subur ...
26/05/2026

“Selamat Hari Raya Aidiladha 1447H. Semoga semangat pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan ketaatan Nabi Ismail AS terus subur dalam jiwa kita. Mudah-mudahan setiap pengorbanan yang dilakukan diterima Allah SWT serta melahirkan umat yang lebih bertaqwa, bersatu dan diberkati.”

“Islam Adalah Penyelesaian”
“Kesatuan Asas Kekuatan”

“Jom hidupkan sunnah dan rebut ganjaran besar di sisi Allah dengan berpuasa pada Hari Arafah. Semoga Allah mengampuni do...
26/05/2026

“Jom hidupkan sunnah dan rebut ganjaran besar di sisi Allah dengan berpuasa pada Hari Arafah. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa kita yang lalu dan yang akan datang serta mengurniakan keberkatan hidup di dunia dan akhirat.”

“Islam Adalah Penyelesaian”
“Kesatuan Asas Kekuatan”

Address

Kuala
20###

Website

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when Dewan Ulama PAS Terengganu posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Shortcuts

Share