21/07/2026
21 Julai 2026 | Rhu 10, Setiu, Terengganu
PROGRAM MELABUH UNJAM DI PERAIRAN RHU 10, SETIU TAHUN 2026
Sebanyak 40 unit unjam telah berjaya dilabuhkan diperairan Rhu 10, Setiu. Lokasi tersebut dipilih sebagai destinasi ketiga Program Melabuh Unjam Bagi Negeri Terengganu pada tahun ini. Program ini bertujuan meningkatkan hasil tangkapan nelayan pantai di mana unjam berfungsi sebagai peranti pengumpul ikan.
Program ini telah disempurnakan oleh YBrs. Dr Sukati bin Sakka Pengarah Pertanian Negeri Terengganu yang mewakili YB. Dato' Dr. Hj. Azman bin Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu dan diiringi oleh En. Pang Anak Nyukang, Pengarah Perikanan Negeri Terengganu. Hadir sama dalam program tersebut ialah, Pengarah FAMA Negeri Terengganu, Encik Mohamad Fadlee bin Hassan, Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Negeri Terengganu, Encik Mohd Zamani Bin Ab Ghani, wakil Pejabat Daerah Dan Tanah Setiu, wakil YDP Majlis Daerah Setiu , Pegawai-pegawai teknikal Jabatan, Ketua Daerah Perikanan, wakil-wakil Jabatan serta Agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Terengganu.
Program ini telah berjaya mengumpulkan seramai lebih kurang 20 orang nelayan pantai Rhu 10 yang telah sama-sama membina dan melabuhkan unjam di Perairan Rhu 10, Setiu.
Kerjasama ini menunjukkan bahawa para nelayan yang sentiasa menyokong usaha yang dijalankan oleh Kerajaan dan jabatan dalam memastikan sumber perikanan sentiasa bertambah dan dinikmati bersama.
Program melabuh unjam merupakan satu inisiatif penting dalam pengurusan sumber perikanan kerana struktur unjam berfungsi sebagai kawasan perlindungan dan tempat berkumpulnya ikan-ikan pelagik seperti tenggiri, tongkol, cencaru, kembung serta selar.
Kehadiran unjam secara tidak langsung membantu meningkatkan kecekapan operasi penangkapan ikan, mengurangkan masa pencarian kawasan penangkapan secara langsung dapat menjimatkan penggunaan bahan api oleh nelayan.
Di samping itu, inisiatif ini turut menyokong pengurusan sumber perikanan secara lestari dengan mengagihkan kawasan penangkapan yang lebih sistematik serta mengurangkan tekanan terhadap sumber perikanan di lokasi-lokasi tertentu.
Semoga usaha ini dapat diteruskan bagi memastikan sumber perikanan negara terus terpelihara dan kebajikan para nelayan pantai terus terbela.