17/10/2025
Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pagi tadi membuat beberapa ketetapan penting susulan perkembangan semasa:
Keselamatan Pelajar:
Susulan tragedi pelajar perempuan maut ditikam di Bandar Utama, Kerajaan Negeri akan mengadakan sesi pertemuan dengan ibu bapa, guru dan pelajar untuk memulihkan trauma serta memperkenalkan langkah keselamatan baharu seperti penggunaan pengesan logam, CCTV dan sistem notifikasi pintar.
Kesihatan Pelajar:
Sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi pemberian vaksin Influenza A percuma kepada 12,500 pelajar di daerah Hulu Langat, Gombak, Klang dan Petaling bermula minggu depan, diketuai oleh EXCO Kesihatan Awam, YB Jamaliah Jamaluddin.
Bantuan Bencana:
Kerajaan Negeri menyalurkan RM64,000 kepada 64 keluarga mangsa ribut di Sijangkang serta RM320,000 bagi membaiki SRA Kampung Medan. Mangsa cedera turut menerima bantuan RM1,000 seorang.
Dasar Bekerja Dari Rumah (BDR):
Sempena Sidang Kemuncak ASEAN (26–28 Oktober), penjawat awam negeri dan anggota GLC diberi kelonggaran bekerja dari rumah bagi mengurangkan kesesakan. Sektor swasta turut digalakkan berbuat demikian.
Langkah-langkah ini mencerminkan keprihatinan dan ketangkasan Kerajaan Negeri dalam memastikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat Selangor terus terpelihara.