14/08/2026
REFLEKSI KEPIMPINAN MINGGU INI @ 14 OGOS 2026
THEY WILL JUDGE
other side of the coin
Sempena Hari Integriti Sarawak 2026, refleksi kali ini menyentuh tentang aspek, elemen dan tindakan yang tersirat dalam “They Will Judge” yang sangat berkait rapat dengan kita sebagai penjawat awam khususnya di Pejabat Pendidikan Daerah Kuching.
Dalam landskap kepimpinan pendidikan, hakikat bahawa setiap tindakan akan dinilai bukanlah satu tekanan, tetapi satu amanah. Penilaian yang hadir sebenarnya mencerminkan kepercayaan masyarakat terhadap kita sebagai penjawat awam iaitu bahawa setiap keputusan, tingkah laku dan tindakan kita memberi kesan langsung kepada organisasi, murid dan masa depan pendidikan.
Sebagai ketua, kita semua menyedari bahawa setiap keputusan yang dibuat bukan sahaja dilihat, tetapi dinilai dari sudut integriti, ketelusan dan keadilan. Justeru, fokus kita bukan untuk mengelak daripada penilaian, tetapi memastikan setiap tindakan berlandaskan prinsip integriti sebagai penjawat awam iaitu melaksanakan tugas dengan jujur, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat dan negara.
Dalam kerangka BITARA, refleksi ini diperkukuh dengan peranan kolektif semua lapisan:
BIMBING
Di peringkat PPD, kita cuba membimbing hala tuju daerah dengan jelas dan berprinsip. Kita di PPD bertindak sebagai pembimbing strategik kepada sekolah. Guru besar dan pengetua membimbing warga sekolah dengan hikmah, manakala guru dan AKP membimbing murid serta menyokong ekosistem pembelajaran. Integriti memastikan setiap bimbingan dibuat tanpa kepentingan peribadi, tetapi demi kebaikan bersama.
INTEGRITI
Integriti adalah teras kepada perkhidmatan awam. Kita di PPD bertanggungjawab memastikan setiap dasar dan keputusan di peringkat daerah dilaksanakan secara telus dan adil. Kita di PPD perlu konsisten dan beretika dalam penyampaian perkhidmatan. Pentadbir sekolah memastikan pengurusan berakauntabiliti tinggi, manakala guru dan AKP melaksanakan tugas dengan jujur dan profesional. Penilaian yang diterima adalah pengukuh kepada kepercayaan terhadap integriti kita.
TANGGUNGJAWAB
Di PPD, kita memikul tanggungjawab terhadap prestasi dan kesejahteraan pendidikan di daerah. Kita di PPD memastikan sokongan yang efektif, manakala guru besar dan pengetua bertanggungjawab terhadap kecemerlangan sekolah. Guru dan AKP melaksanakan amanah tugas dengan penuh komitmen. Dalam apa jua keadaan, sama ada mengambil risiko atau memilih pendekatan selamat maka tanggungjawab tetap menjadi keutamaan.
AMANAH
Setiap jawatan adalah amanah. Semua pegawai di PPD, pentadbir sekolah, guru dan AKP, memikul tanggungjawab untuk menjaga kepercayaan yang diberikan. Integriti memastikan amanah ini tidak disalahgunakan, malah dimanfaatkan untuk membawa manfaat kepada sistem pendidikan.
RESPONSIF
Sebagai penjawat awam, kita perlu responsif terhadap keperluan rakyat dan perubahan semasa. Di peringkat PPD, kita perlu peka terhadap cabaran sekolah, bertindak pantas dan tepat, pentadbir sekolah responsif terhadap warga sekolah dan ibu bapa, manakala guru dan AKP menyesuaikan diri dengan keperluan murid. Penilaian yang diterima menjadi maklum balas untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan.
AKAUNTABILITI
Setiap tindakan perlu dipertanggungjawabkan. Kitadi PPD bertanggungjawab terhadap keputusan di peringkat daerah dan peka terhadap pelaksanaan, pentadbir sekolah terhadap hasil sekolah, dan guru serta AKP terhadap pelaksanaan tugas harian. Integriti memastikan akauntabiliti ini dilaksanakan dengan telus, tanpa kompromi terhadap prinsip.
Kesimpulannya, dalam apa jua keadaan iaitu sama ada kita bersuara atau berdiam, berjaya atau berdepan cabaran, penilaian akan tetap berlaku. Namun sebagai penjawat awam, penilaian itu adalah tanda bahawa kita sedang memegang amanah yang besar.
Oleh itu, kita tidak perlu gentar, sebaliknya menjadikannya sebagai pemangkin untuk memperkukuh integriti dan menghidupkan nilai BITARA dalam setiap tindakan.
Akhirnya, kepimpinan yang berintegriti bukan sahaja membina kepercayaan, tetapi meninggalkan legasi yang bermakna iaitu membangunkan manusia, memperkukuh sistem dan memastikan setiap usaha membawa kebaikan yang berpanjangan kepada pendidikan dan negara.
Dalam menghadapi hakikat bahawa “They Will Judge”, kita juga perlu menginsafi bahawa kita sendiri tidak terlepas daripada menilai orang lain iaitu secara sedar atau tidak.
Oleh itu, dalam perjalanan kepimpinan dan kehidupan seharian, budaya saling memaafi menjadi kekuatan yang memanusiakan kita.
Setiap kita pernah tersilap, pernah terkhilaf dalam kata dan tindakan. Maka, apabila kita memilih untuk memaafkan dan memohon maaf dengan ikhlas, kita sebenarnya sedang membina persekitaran yang lebih matang, harmoni dan berintegriti.
Pemimpin yang kuat bukan yang bebas daripada kesilapan, tetapi yang berani mengakui, memperbaiki dan memberi ruang kepada orang lain untuk bangkit semula.
Dalam semangat BITARA, saling memaafi bukan kelemahan malahan ia adalah tanda kekuatan jiwa, kematangan kepimpinan dan asas kepada kepercayaan yang berpanjangan.
PPD Kuching, BITARA sentiasa
PPD ini adalah PPD kita bersama
“PPD Kita, Tanggungjawab Kita”
Ikhlas Daripada ;
Dr. Majelan bin Sulong & seluruh warga kerja Pejabat Pendidikan Daerah Kuching