17/06/2026
Selepas hampir enam bulan Mahkamah Tinggi di sini memutuskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalah atas empat kes rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM2.3 bilion, keputusan penuh secara rasmi kes berkenaan dimuat naik dalam sistem kehakiman pada Selasa.
Penghakiman setebal 809 muka surat itu menyaksikan huraian panjang lebar Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar kes berkenaan.
Prosiding di peringkat pendakwaan berlangsung selama 235 hari dengan seramai 50 saksi dipanggil memberi keterangan dengan hari terakhir pada 30 Mei 2024 lalu.
Sementara prosiding pembelaan bekas pemimpin UMNO berusia 73 tahun itu mengambil masa selama 58 hari, berakhir pada 6 Mei 2025, membabitkan 26 saksinya.
Perbicaraan kes berprofil tinggi itu telah mengambil masa selama 303 hari termasuk 10 hari penghujahan di akhir kes pembelaan bermula 21 Oktober lalu.
Pada 25 Disember 2025, Collin yang bersidang di Istana Kehakiman di Putrajaya, menjatuhi hukuman penjara 15 tahun terhadap Najib, dan memerintahkannya membayar denda sebanyak RM11.38 bilion.
Beliau berkata, setiap kes menggunakan kedudukan untuk rasuah, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun sementara lima tahun bagi setiap kes AMLA.
Bagaimanapun, beliau memerintahkan hukuman pemenjaraan berjalan serentak, selepas Najib selesai menjalani hukuman di Penjara Kajang, bagi kes SRC International Sdn Bhd, 22 Ogos 2028 depan.
Katanya, ia disebabkan pertuduhan kes 1MDB dan kes SRC bukan melibatkan transaksi yang sama dan merupakan kes berasingan.