26/08/2026
KENYATAAN MEDIA BERHUBUNG AHLI DEWAN NEGERI KUALA SENTUL MENYOKONG KEPIMPINAN YAB MENTERI BESAR PAHANG
26 Ogos 2026
PAS Kawasan Maran mengambil maklum pendirian YB ADUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin, yang mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Kami menghormati pendirian tersebut sebagai hak dan keputusan politik beliau. Dalam masa yang sama, PAS Kawasan Maran melihat perkembangan ini sebagai sebahagian daripada dinamika politik semasa yang perlu dihadapi dengan matang, tenang dan berlapang dada.
Bagi PAS, soal prinsip dan amanah kepada rakyat tetap menjadi keutamaan. Perbezaan pendirian politik tidak seharusnya menghilangkan adab, ukhuwah dan hubungan sesama masyarakat.
Kami berharap segala keputusan dan kerjasama politik yang dibentuk akan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat Kuala Sentul, Maran dan seluruh negeri Pahang, khususnya dalam aspek pembangunan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
PAS Kawasan Maran juga akan terus melaksanakan tanggungjawabnya sebagai sebuah parti yang memperjuangkan kepentingan rakyat serta mempertahankan prinsip perjuangan Islam dengan penuh hikmah dan istiqamah.
Dalam masa yang sama, PAS Kawasan Maran sentiasa bersiap sedia memperkukuhkan jentera pilihan raya di semua peringkat bagi menghadapi sebarang kemungkinan dan perkembangan politik semasa, termasuk persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Kesiapsiagaan ini adalah sebahagian daripada amanah organisasi bagi memastikan seluruh jentera PAS Kawasan Maran berada dalam keadaan tersusun, kukuh dan bersedia pada bila-bila masa demi meneruskan perjuangan serta membela kepentingan rakyat.
" KEMBALI KEPADA PENYELESAIAN ISLAM "
Sekian, terima kasih.
FAZIL AZMI NADZRI
Yang Dipertua
PAS Kawasan Maran