26/07/2026
*PROGRAM HARI PENANAMAN POKOK DI AEON MALL BUKIT INDAH*
18 Julai 2026 (Sabtu) โ Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) telah menerima jemputan daripada AEON Mall Bukit Indah untuk menyertai Program Hari Penanaman Pokok yang diadakan di perkarangan AEON Mall Bukit Indah.
Program ini bertujuan sebagai salah satu inisiatif tanggungjawab sosial koprat (CSR) dalam meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar melalui aktiviti penghijauan serta memupuk amalan mencintai alam semula jadi dalam kalangan pelajar sekolah dan komuniti.
Sepanjang program berlangsung, JPNJ telah mengendalikan demonstrasi teknik penanaman pokok yang betul serta aktiviti penanaman pokok bersama para peserta. Sebagai sokongan terhadap inisiatif tersebut, JPNJ telah menyumbangkan sebanyak 100 anak pokok Salam ( _Syzygium polyanthum_ ) untuk diagihkan kepada para pengunjung dan sebanyak 50 anak pokok Sambang Darah ( _Excoecaria cochinchinensis_ ) yang telah ditanam di sekitar kawasan AEON Mall Bukit Indah.
Selain itu, pihak AEON Mall Bukit Indah turut menyumbangkan sebanyak 200 anak pokok Bunga Jenjarum ( _Ixora_ ) yang telah ditanam di kawasan landskap sekitar perkarangan tempat letak kereta bagi memperindah persekitaran serta meningkatkan liputan hijau di kawasan tersebut.
Dalam usaha memperkukuh kesedaran awam mengenai kepentingan pemeliharaan hutan dan biodiversiti, JPNJ turut membuka reruai pameran dan pendidikan yang dikendalikan oleh Unit Pesisir dan Biodiversiti, Suaka Burung Panti. Reruai tersebut menyediakan pelbagai bahan pameran serta perkongsian maklumat berkaitan pemeliharaan alam sekitar, ekosistem hutan dan kepelbagaian biodiversiti.
Turut diadakan ialah Segmen Kuiz Interaktif yang dikendalikan oleh JPNJ bagi menguji pengetahuan peserta mengenai hutan, alam sekitar dan biodiversiti. Seramai 50 orang peserta, terdiri daripada murid-murid sekolah rendah, telah mengambil bahagian dalam kuiz tersebut, manakala 18 orang peserta telah dipilih sebagai pemenang berdasarkan prestasi cemerlang mereka dengan menghantar kertas jawapan terawal dan jawapan yang tepat .
Penyertaan JPNJ dalam program ini diharap dapat memperkukuh kerjasama strategik dengan pelbagai pihak dalam menjayakan usaha penghijauan serta menyemai kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memelihara khazanah hutan dan biodiversiti negara demi kesejahteraan generasi akan datang.