17/04/2026
[FAMILY FUN RUN DAN FAMILY DAY PALAPES USIM TAHUN 2026]
NILAI, 12 April 2026: Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Program Family Fun Run dan Family Day PALAPES USIM Tahun 2026 bertempat di Markas PALAPES USIM. Program ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan warga PALAPES USIM yang terdiri daripada 8 pegawai, 18 anggota, 14 ahli BAKAT serta 38 orang kanak-kanak.
Sebagai pembuka tirai, sesi senamrobik telah dilaksanakan bagi tujuan pemanasan badan sebelum acara larian. Aktiviti ini dikendalikan oleh Jurulatih Jasmani bersama Pegawai Kadet dan berjaya menarik penyertaan aktif daripada anggota serta ahli keluarga dalam suasana yang ceria dan bertenaga. Seterusnya, acara pelepasan larian Family Fun Run sejauh 3.2 km telah disempurnakan oleh Timbalan Komandan, Lt Kol Rozaimi bin Kamarudin. Larian ini turut menyaksikan penglibatan anggota dan ahli keluarga yang berlari bersama dalam suasana penuh harmoni dan semangat kekeluargaan, sekali gus memperkukuh hubungan serta kesepaduan antara warga pasukan dan keluarga masing-masing.
Seterusnya, majlis penutup program telah diadakan dalam suasana sederhana namun meriah. Majlis penutup ini turut dilaksanakan sebagai sambutan Family Day PALAPES USIM yang menggabungkan dua acara dalam satu penganjuran yang berkonsepkan kekeluargaan. Pelbagai aktiviti telah disusun bagi memeriahkan majlis, antaranya indoor game yang melibatkan penyertaan keluarga dan kanak-kanak serta persembahan oleh pegawai kadet.
Pada akhir majlis, acara penyampaian hadiah telah diadakan sebagai penghargaan kepada para pemenang atas pencapaian dan komitmen yang ditunjukkan sepanjang program berlangsung. Majlis turut menyaksikan penyampaian cenderahati kepada ahli BAKAT yang bakal bersara serta penghargaan kepada ahli BAKAT dan anggota yang akan bertukar keluar sebagai tanda pengiktirafan terhadap jasa mereka sepanjang berkhidmat di PALAPES USIM. Penyampaian hadiah dan cenderahati ini telah disempurnakan oleh Puan Noryurni Syahida binti Mohd Yusoff, Pengerusi BAKAT PALAPES USIM dan Mej Noor Efendy bin Hj Samih, Ketua Jurulatih PALAPES USIM.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen dalam memupuk kesejahteraan warga serta memperkukuh institusi kekeluargaan yang menjadi asas penting dalam melahirkan anggota yang seimbang dari segi mental dan fizikal.