30/07/2026
PROGRAM MELABUH UNJAM DI PERAIRAN DUNGUN
Khamis, 30.7.2026 Sebanyak 40 unit unjam telah berjaya dilabuhkan di perairan Dungun sebagai sebahagian daripada usaha Jabatan Perikanan Malaysia dalam memperkukuhkan sumber perikanan, meningkatkan hasil tangkapan nelayan serta menyokong pembangunan sektor perikanan. Program ini telah disempurnkan oleh YB. Dato' Dr.Azman bin Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu.
Hadir sama dalam program tersebut ialah YBrs. En Pang Anak Nyukang, Pengarah Perikanan Negeri Terengganu. Turut hadir YB Fadhli bin Rahmi Adun Rantau Abang, Ts. Dr. Daud bin Awang Pengarah Fri Rantau Abang, Dr. Sukati bin Sakka Pengarah Pertanian Negeri Terengganu, Puan Shadiah binti Mohamad Ketua Cawangan Pengembangan Perikanan Negeri Terengganu, Encik Buyamin bin Halim Ketua Unit Konservasi dan Perlindungan Perikanan, Encik Izzudin wakil Pegawai Daerah Dungun, Ustaz Hanafiah wakil Adun Sura, dan ketua-ketua jabatan dibawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Daerah Dungun. En Abd Halim bin Mat Noor, selaku Ketua Daerah Perikanan Dungun serta kakitangan Pejabat Perikanan Daerah Dungun dan Cawangan Pengembangan Perikanan, Pejabat Perikanan Negeri Terengganu.
Program Melabuh Unjam telah dilaksanakan mengikut perancangan yang ditetapkan dengan pematuhan terhadap prosedur operasi dan aspek keselamatan di laut. Sebelum operasi dimulakan, satu sesi taklimat telah diadakan bagi menerangkan tatacara pelaksanaan, pembahagian tugas serta langkah-langkah keselamatan kepada semua pegawai dan kru bot yang terlibat.
Seterusnya, unjam yang telah disediakan dibawa ke lokasi sasaran. Pelabuhan unjam dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan koordinat yang telah ditentukan bagi memastikan kedudukan unjam berada di lokasi yang bersesuaian serta tidak mengganggu laluan pelayaran atau aktiviti perikanan lain.
Sepanjang pelaksanaan program, operasi berjalan dengan lancar hasil kerjasama erat antara pegawai Pejabat Perikanan Daerah Dungun, golongan sasar serta semua pihak yang terlibat.
Program ini telah berjaya dilaksanakan mengikut jadual yang dirancang dan semua unjam berjaya dilabuhkan di lokasi sasaran.
Pelaksanaan program ini dijangka memberi impak positif terhadap pembangunan sektor perikanan tangkapan melalui peningkatan populasi ikan di kawasan unjam. Selain menyediakan habitat kepada hidupan marin, unjam juga berfungsi sebagai kawasan tumpuan ikan yang berpotensi meningkatkan hasil tangkapan nelayan setempat.
Dalam jangka masa panjang, pelaksanaan program ini dijangka dapat menyumbang kepada kelestarian sumber perikanan, mengurangkan tekanan terhadap kawasan penangkapan sedia ada serta meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi komuniti nelayan.