01/05/2015
UCAPAN HARI PEKERJA SEDUNIA
1 MEI 2015
Hari pekerja merupakan perayaan yang disambut diseluruh dunia pada setiap tahun bagi memperingati gerakan persatuan pekerja yang menuntut hak sosial para pekerja dan ekonomi. Hari Pekerja Sedunia pertama kali dirayakan di Malaysia pada tanggal 1 Mei 1972 sebagai hari kelepasan am bagi pekerja Malaysia.
Apabila, menyebut tentang Hari Pekerja, tidak dapat dilupakan peristiwa Hymarket. Pada, 1 Mei 1886, ratusan ribu orang buruh mengadakan tunjuk perasaan bagi menuntut hak bekerja selama 8 jam, diberikan perlindungan keselamatan, dan menentang penggunaan kanak-kanak sebagai pekerja buruh. Aksi tunjuk perasaan berlarutan sehingga 4 hari sejak tanggal 1 Mei sehinggalah terjadi pertempuran antara polis dan orang buruh setelah satu letupan bom berlaku.
Maka ramai para aktivis dan tokoh-tokoh orang buruh ditangkap dan seramai 8 orang dijatuhkan hukuman gantung. Masyarakat terus memberontak dan mengecam sistem kehakiman US memihak kepada golongan majikan.
Pada tahun 1887, Presiden Grover Cleveland telah memilih Isnin pertama bulan September sebagai hari buruh di AS. Pada 1894 Presiden Grover secara rasminya mengisyhtiharkan Isnin pertama bulan September sebagai hari buruh. Namun banyak kesatuan pekerja yang lebih radikal mahukan tarikh 1 Mei sebagai hari buruh.
Begitu mahal harga yang dibayar bagi menuntut hak dan kebebasan. Tatkala sang penguasa zalim menekan rakyat, dimanakah lagi suara yang dapat disalurkan selain daripada turun ke jalanraya. Pengorbanan yang dilakukan oleh tokoh-tokoh terdahulu haruslah dijadikan sebagai sumber inspirasi bagi menegakkan keadilan.
Lebih-lebih lagi di Malaysia yang sedang menghadapi krisis. Perlaksanaan GST yang menekan rakyat hasil daripada tindakan pemimpin yang gagal menguruskan Negara ini dengan baik. Golongan yang terkesan ialah golongan pekerja. Seharian bekerja, pendapatan kecil terus terbeban dengan pelbagai kos sara hidup yang kian meningkat.
Peranan sebuah kerajaan ialah mengurus negara dengan baik dengan menyediakan keperluan asas yang lengkap seperti pendidikan, kesihatan dan ekonomi. Kerajaan seharusnya mampu mencipta pekerjaan kepada rakyat daripada terus menerus memberi wang. Untuk mencipta pekerjaan, industri dan perancangan ekonomi Negara haruslah dirancang dengan rapi. Untuk mencipta kemajuan industri, pengurusan wang haruslah telus.
Bukan caranya memberi wang yang besifat sementara, seharusnya rakyat perlu diberi pendidikan. Institut Pendidikan Awam perlu diperbanyakkan lagi memandangkan begitu ramai anak muda lepasan sekolah yang tidak dapat masuk ke IPTA. Melalui pendidikan mereka, diberikan p**a pekerjaan supaya ilmu dan kepakaran dapat dimanfaatkan dan disumbangkan semula demi kemajuan Negara. Secara tidak langsung, Malaysia dapat melahirkan golongan pekerja dan rakyat yang berkualiti tinggi. Inilah model Negara maju yang kita impikan.
“"In both our lands, it is the people who control the Government, not the Government control the people.".” – Winston Churchill
Angkatan Muda Keadilan Subang mempunyai impian yang besar dalam melihat Malaysia terus mencapai sebuah Negara maju. Kebajikan rakyat yang bekerja harus dijaga. Hasil Negara mesti diurus dan di agih dengan adil, agar kebajikan dan nasib rakyat miskin terbela. Kita semua mengimpikan Malaysia terus maju dan sejahtera.
Selamat Hari Pekerja.
Angkatan Muda keadilan Subang.