12/08/2026
LAND EX THAMAL SIRI 29/2026 PERKUKUH INTEROPERABILITI TENTERA DARAT MALAYSIA DAN ROYAL THAI ARMY
GERIK, PERAK – Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Zamsari bin Abu Hasan telah menghadiri Acara Penutup Eksesais LAND THAMAL Siri 29/2026 melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Royal Thai Army (RTA) di Gerik, Perak pada 12 Ogos 2026.
Turut hadir ialah Commander 5th Infantry Division, Royal Thai Army, Mejar Jeneral Aphinan Jamjang. Kehadiran kedua-dua pemimpin ketenteraan itu turut menyaksikan kemuncak eksesais menerusi pelaksanaan serangan akhir kem musuh di kawasan latihan Kampung Ayer Ganda, Gerik.
LAND THAMAL merupakan eksesais bilateral tahunan antara TDM dan RTA yang dilaksanakan secara penggiliran antara kedua-dua negara di bawah kerangka kerjasama General Border Committee (GBC). Bagi Siri 29/2026, Malaysia bertindak sebagai tuan rumah dengan Batalion Ke-4 Rejimen Sempadan (4 RS) sebagai pasukan penganjur dan pelaku utama.
Eksesais yang berlangsung mulai 5 hingga 12 Ogos 2026 itu menghimpunkan seramai 252 pegawai dan anggota, terdiri daripada 197 warga TDM dan 55 warga RTA. Pelaksanaannya merangkumi tiga fasa utama iaitu Cross Training Exercise (CTX), Field Training Exercise (FTX) dan Combined Military Civil Action (CMCA).
Sepanjang latihan, anggota kedua-dua negara didedahkan kepada pelbagai aspek taktikal termasuk prosedur tempur, merentas halangan, berpangkalan, rondaan, serang hendap serta serangan ke atas kem musuh. Pelaksanaan CMCA menerusi Program Jiwa Murni di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Idris Shah II, Gerik p**a memperlihatkan kerjasama anggota TDM dan RTA dalam aktiviti kemasyarakatan bersama komuniti setempat.
Terdahulu, LAND THAMAL Siri 29/2026 telah dirasmikan pembukaannya pada 5 Ogos 2026 di Airstrip Gerik oleh Panglima Briged Ke-30 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Zaini bin Haji Hashim bersama 5th Infantry Brigade Commander, Senior Colonel Taweeporn Kanatong.
Acara penutup disempurnakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Malaysia dan Thailand, upacara menanggalkan Toha, ucapan penutup oleh Panglima 2 Divisyen, pertukaran cenderamata serta sesi bergambar.
Kejayaan penganjuran LAND THAMAL Siri 29/2026 bukan sahaja meningkatkan tahap interoperabiliti dan kesiagaan operasi, malah terus memperkukuh kepercayaan, persefahaman serta hubungan profesional antara TDM dan RTA. Kerjasama erat ini menjadi asas penting dalam mendukung usaha bersama memelihara keselamatan sempadan serta keamanan dan kestabilan serantau.