03/02/2026
𝐋𝐀𝐖𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐁𝐀𝐉𝐈𝐊𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐄𝐏 𝐈𝐏𝐃 𝐊𝐎𝐓𝐀 𝐌𝐀𝐑𝐔𝐃𝐔
KOTA MARUDU, SABAH | 30 JANUARI 2026. Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu telah melaksanakan Lawatan Kebajikan sebagai salah satu inisiatif berterusan dalam memastikan kebajikan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta ahli keluarga sentiasa terbela dan diberi perhatian.
Program lawatan ini diketuai oleh Puan Ermelyn binti Kioh, Pengerusi PERKEP IPD Kota Marudu, bersama barisan Ahli Jawatankuasa PERKEP IPD Kota Marudu.
Antara Lokasi lawatan kebajikan ialah di Kediaman Puan Normala binti Abdul Ghaffar, balu kepada pesara polis Allahyarham SM(B) Ahmad bin Baar yang menetap di Kampung Rasak Laut, serta Kediaman Puan Evanna Florynah Mikin, balu kepada pesara polis Allahyarham SM(B) Suhaimi bin Ishak di Kampung Goshen, Jalan Lotong, Kota Marudu.
Selain itu, PERKEP IPD Kota Marudu turut menziarahi Adik Gevariel Najirin, anak kepada Koperal Najirin bin Keibin, anggota Balai Polis Pitas, yang menghidap penyakit Hypoxic Ischemic Encephalopathy (HIE) Tahap 5. Lawatan ini diadakan di kediaman keluarga berkenaan di Rumah Kerajaan Pekan Lama, Kota Marudu.
Dalam lawatan tersebut, PERKEP IPD Kota Marudu telah menyampaikan sumbangan berbentuk cenderahati, buah tangan serta sumbangan wang tunai sebagai tanda keprihatinan, sokongan moral dan kebersamaan PERKEP terhadap keluarga yang memerlukan.
Pelaksanaan lawatan kebajikan ini selari dengan tujuan penubuhan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP), iaitu sebagai sebuah pertubuhan yang menjaga kebajikan, keharmonian serta kesejahteraan keluarga warga PDRM.
Antara misi utama PERKEP adalah:
- Memperkasakan kebajikan sosial ahli PERKEP dan keluarga warga PDRM;
- Mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli di semua peringkat;
- Menjadi platform sokongan moral dan emosi kepada keluarga anggota PDRM; dan
- Menyokong peranan PDRM melalui pembangunan keluarga yang sejahtera dan berdaya tahan.
Keseluruhan program lawatan kebajikan ini telah berjalan dengan lancar dan teratur, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan PERKEP dalam menjunjung amanah kebajikan serta memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan keluarga Polis Diraja Malaysia.