17/04/2026
𝐊𝐞𝐧𝐚𝐢𝐤𝐚𝐧 𝐊𝐚𝐝𝐚𝐫 𝐁𝐚𝐧𝐭𝐮𝐚𝐧 𝐁𝐮𝐤𝐭𝐢 𝐊𝐨𝐦𝐢𝐭𝐦𝐞𝐧 𝐊𝐞𝐫𝐚𝐣𝐚𝐚𝐧 𝐌𝐞𝐦𝐛𝐞𝐥𝐚 𝐏𝐞𝐤𝐞𝐛𝐮𝐧 𝐊𝐞𝐜𝐢𝐥 𝐆𝐞𝐭𝐚𝐡
Kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan RISDA telah membuat keputusan penting menaikkan kadar bantuan Program Tanam Semula Getah bagi Semenanjung Malaysia dan Sabah dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13).
Keputusan ini dibuat setelah meneliti secara menyeluruh peningkatan kos pembangunan kebun serta keperluan sebenar di peringkat lapangan, berikutan suasana ekonomi global yang masih tidak menentu serta peningkatan kos input pertanian yang semakin menekan.
Melalui penambahbaikan ini, kadar bantuan di Semenanjung Malaysia dinaikkan daripada RM13,710 sehektar kepada RM20,000 sehektar, iaitu peningkatan sebanyak RM6,290 sehektar. Bagi negeri Sabah p**a, kadar bantuan dinaikkan daripada RM14,955 sehektar kepada RM23,000 sehektar, iaitu peningkatan sebanyak RM8,045 sehektar. Bagi kadar bantuan negeri Sarawak, ia telah diumumkan pada bulan Mac lalu dengan kadar baharu RM23,000 sehektar berbanding kadar lama RM14,805.
Kadar baharu ini akan mula dilaksanakan bermula tahun ini melalui pembayaran secara lima ansuran yang lebih praktikal bagi membantu pekebun kecil mengurus pembangunan kebun secara lebih terancang dan berkesan. Langkah ini juga bertujuan mengurangkan beban kos permulaan yang menjadi kekangan utama kepada pelaksanaan tanam semula.
Sepanjang tempoh RMKe-13, inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada sekitar 33,000 orang pekebun kecil getah dengan sasaran keluasan tanam semula sebanyak 50,000 hektar, atau purata 10,000 hektar setahun. Dalam jangka panjang, usaha ini diunjurkan mampu membantu pekebun kecil memperoleh pendapatan sekitar RM4,700 sebulan sekeluarga melalui hasil getah dan aktiviti ekonomi yang lain.
Saya melihat kenaikan kadar ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan untuk terus membela, memperkasa dan memartabatkan masyarakat pekebun kecil getah yang menjadi tulang belakang ekonomi desa dan luar bandar.