14/06/2026
MAJLIS IHTIFAL ILMI SEKOLAH RENDAH AGAMA (MIISRA) PERINGKAT DAERAH JENGKA 2026
JENGKA- 13/6/2026(Sabtu)
Alhamdulillah, telah berlangsung dengan jayanya Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah Rendah Agama (MIISRA) Peringkat Daerah Jengka 2026 yang menghimpunkan penyertaan daripada 36 buah Sekolah Agama Rakyat (SAR) KAFA seluruh daerah Jengka.
Majlis ini telah dirasmikan oleh Mohd Farik bin Jamaluddin, Al-Fadhil Qadhi Daerah Jengka. Turut hadir Puan Norhasnita binti Hassan, Penyelia KAFA Daerah Jengka, Pengurus FELDA serta Pengerusi Masjid Felda Lepar Utara 1.
Pelbagai acara telah dipertandingkan bagi mencungkil bakat, membina keyakinan diri serta memupuk kecintaan murid terhadap ilmu dan syiar Islam. Antara acara yang dipertandingkan ialah Tilawah Al-Quran, Hafazan Al-Quran, Nasyid, Azan, Bercerita Kisah Al-Quran, Tulisan Jawi, Tulisan Khat serta beberapa acara ilmiah yang lain.
Pertandingan telah diadakan di SAR KAFA Felda Lepar Utara 1, Felda Lepar Utara 2 dan Felda Lepar Utara 4, dengan SAR KAFA Felda Lepar Utara 1 bertindak sebagai tuan rumah bagi penganjuran MIISRA pada tahun ini.
Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada pihak pengurusan FELDA, komuniti setempat, Jawatankuasa SAR KAFA, para guru KAFA serta semua pihak yang telah bertungkus-lumus memberikan kerjasama dan sokongan dalam menjayakan program ini.
Semoga penganjuran MIISRA terus menjadi medan melahirkan generasi Islam yang berilmu, berakhlak mulia, berketerampilan serta mampu menjadi pewaris kepimpinan ummah pada masa hadapan. Tahniah dan syabas kepada semua peserta, guru pembimbing serta pihak sekolah yang terlibat. Semoga segala usaha yang dicurahkan mendapat ganjaran dan keberkatan daripada Allah SWT.
"Melahirkan Generasi Quranik, Berilmu dan Berakhlak Mulia."