20/08/2026
20 OGOS 2026 | KOTA KINABALU
Saya bersama Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan bin Jalal, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KUSKOP, Datuk Saidu Akmar bin Samah, wakil-wakil agensi di bawah KUSKOP serta Pengarah SKM Negeri Sabah, Tuan Haji Awg Russli Mohammad, hari ini mengadakan kunjungan hormat kepada YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah, di Menara PPNS Kinabalu.
Kunjungan ini antara lain bertujuan memperkenalkan agensi-agensi di bawah KUSKOP kepada Kerajaan Negeri Sabah, selain memperkukuh hubungan dan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri, khususnya dalam memperkasa sektor keusahawanan, perniagaan dan Gerakan Koperasi di Sabah.
Dalam pertemuan tersebut, saya turut menyampaikan jemputan kepada YAB Ketua Menteri Sabah untuk menyempurnakan Majlis Perasmian Program Hebatkan Perniagaan Malaysia Edisi Sabah yang dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 25 Oktober 2026, dengan majlis perasmian pada 25 Oktober 2026.
Program ini akan menjadi salah satu platform penting dalam memperluas peluang perniagaan, memperkukuh jaringan usahawan serta membuka lebih banyak ruang pasaran kepada para usahawan dan koperasi, khususnya di Sabah.
Saya amat menghargai kesudian YAB Ketua Menteri menerima kunjungan kami. Semoga hubungan dan sinergi yang terjalin antara KUSKOP bersama Kerajaan Negeri Sabah akan terus diperkukuh demi memperkasa ekosistem keusahawanan dan koperasi serta membawa manfaat yang lebih besar kepada rakyat Sabah.
Pada kesempatan yang sama, YBhg. Pengerusi SKM turut menyampaikan Syiling Peringatan 100 Tahun Gerakan Koperasi kepada YAB Ketua Menteri sebagai cenderamata kenang-kenangan, bersempena satu abad perjalanan dan perkembangan Gerakan Koperasi di Malaysia.