05/11/2025
𝐏𝐞𝐥𝐮𝐚𝐧𝐠 𝐊𝐞𝐝𝐮𝐚
Setiap insan berhak diberi peluang kedua dalam hidup. Begitulah kisah Encik Mokthar Dahari Rahman, 34 tahun yang pernah melalui detik pahit dalam kehidupannya. Sejak 2013, beliau diuji dengan masalah kesihatan mental iaitu schizophrenia minor yang membataskan dirinya untuk bekerja seperti insan lain.
Sebelum sakit, Encik Mokthar seorang yang rajin mencari rezeki. Beliau bekerja sendiri, mengambil upah mengecat rumah dan memasang siling di sekitar kawasan tempat tinggalnya. Walaupun pendapatan tidak menentu, hasil titik peluh itulah yang digunakan untuk menyara kehidupan Hidupnya. Namun, segalanya berubah apabila kesihatan beliau mulai merosot. Sejak itu, kehidupannya lebih banyak diwarnai rawatan dan pantauan daripada Klinik Mentari.
Menerusi program ini, Encik Mokthar dibimbing dan dibantu untuk mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan keadaannya. Hari ini, dengan izin Allah, cahaya harapan kembali bersinar. Menerusi Program Restart PERKESO, Encik Mokthar diberi peluang untuk kembali bekerja. Bukan sembarangan pekerjaan tetapi yang sesuai dengan keadaan dirinya, agar keyakinan dan semangatnya dapat pulih sedikit demi sedikit.
Terima kasih saya ucapkan kepada PERKESO Wilayah Persekutuan Labuan atas kunjungan ke kediaman Encik Mokhtar yang bukan sahaja memberikan sokongan moral malah menyempurnakan penyerahan Kotak Prihatin sebagai tanda bahawa beliau tidak pernah sendirian. Lebih istimewa, ibunya yang juga penerima Pencen Penakat hasil caruman arwah suaminya, menitipkan rasa syukur yang tidak terhingga.
Inilah bukti bahawa PERKESO bukan sekadar melindungi dengan faedah kewangan tetapi juga memastikan pencarum, waris, hatta mereka yang diuji dengan kesihatan mental sekali pun, diberi ruang untuk bangkit membina kehidupan.