14/08/2026
Ranau, 11 Ogos 2026 β Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sabah (JPP Sabah) telah melaksanakan Operasi Bersepadu Ke Atas Perangkap Minyak serta Pemeriksaan Lurang Pemeriksaan (Manhole) Sistem Pembetungan di Pekan Ranau Siri 1/2026 bagi memastikan pematuhan terhadap pengurusan sistem pembetungan serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penjagaan sistem pembetungan.
Agensi yang terlibat dalam operasi ini adalah Unit Penguatkuasa (Bahagian Kawal Selia dan Penguatkuasaan) JPP Sabah, Jurutera Bahagian Kota Belud, Ts. Paul Johnatan Jaua Junior, bersama Pegawai Kerja Pembetungan Daerah Ranau, Tc. Mohammad Asri bin Ag Mohd Suud dan warga kerja JPP Daerah Ranau, pegawai dan penguatkuasa Majlis Daerah Ranau (MDR) dan Pasukan Kesedaran Awam Unit Korporat (Bahagian Bajet dan Korporat).
Sepanjang operasi, pemeriksaan dan pemantauan dilaksanakan terhadap perangkap minyak serta lurang pemeriksaan (manhole) sistem pembetungan di kawasan terlibat bagi mengenal pasti keadaan dan tahap pematuhan terhadap keperluan pengurusan sistem pembetungan.
Hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua (2) premis yang mana keadaan kebuk pemeriksaan atau inspection chamber (IC) terdapat sisa minyak dan tersumbat manakala sebanyak 5 premis tidak menyelenggara perangkap minyak mengikut kaedah yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT). Operasi ini juga mendapati kebanyakan premis-premis memasang laluan paip daripada perangkap minyak terus ke longkang. Kebanyakan premis makanan juga didapati meletakkan barang-barang dapur di atas kebuk pemeriksaan sehingga menghalang akses dan menyukarkan kerja-kerja pemeriksaan dan penyelenggaraan.
Selain aspek pemeriksaan dan penguatkuasaan, operasi bersepadu ini turut memberi penekanan kepada kempen kesedaran awam melalui edaran risalah dan penerangan secara langsung kepada pihak berkepentingan dan masyarakat mengenai kepentingan penyelenggaraan perangkap minyak serta penjagaan sistem pembetungan yang baik. Pemantauan daripada MDR dan Kesihatan juga akan diteruskan secara berkala.
Kerjasama antara JPP Sabah dan MDR dalam operasi ini mencerminkan komitmen bersepadu agensi kerajaan dalam memastikan sistem pembetungan dapat berfungsi dengan baik, di samping mengurangkan risiko masalah seperti sumbatan, limpahan dan pencemaran alam sekitar. MDR juga bersetuju penguatkuasa JPP Sabah turut sama dalam operasi penguatkuasaan secara bersepadu yang seterusnya untuk kepatuhan peraturan pengurusan pembuangan sisa minyak dan kebersihan premis makanan.
JPP Sabah akan terus mempergiatkan aktiviti pemantauan, penguatkuasaan dan kesedaran awam secara bersepadu bagi memastikan pengurusan sistem pembetungan di Sabah sentiasa berada pada tahap yang baik serta memberi manfaat kepada kesejahteraan masyarakat.