13/11/2025
"Sebagai Ketua Wiramuda pertama, saya agak kecewa dengan sikap segelintir pemuda dalam STARSABAH hari ini yang mudah berputus asa dan mengeluarkan kenyataan bernada kecewa hanya kerana tidak dicalonkan. Anak muda sepatutnya menjadi benteng kekuatan dan keteguhan parti, bukan mencipta persepsi yang boleh melemahkan semangat perjuangan kita sendiri."
1. Membalas kepada kenyataan seorang abang, Terima Kasih untuk panjangkan suara ini. Namun tidak adil untuk anda pertikaikan hak kami sebagai manusia untuk berasa kecewa.
2. Sejarah tidak menipu satu ketika dahulu abang juga pernah meninggalkan parti atas cerita "Prinsip Perjuangan", abang juga dulu pernah mempertikaikan perjuang YB President. (Cermin Diri Sebelum Labelkan Kami Yang Segelintir ini).
3. Berhujahlah berdasarkan fakta, hari ini 54% pengundi di Sabah adalah di kalangan undi muda. Generasi ini adalah generasi KING MAKER dalam memilih pada PRU DU Sabah kali ini. Zaman abang dan zaman kami berbeza, dahulu hanya yang berusia 21tahun dan perlu mendaftar barulah bergelar sebagai pengundi. Hari ini apabila seseorang menjangkaui usia 18 tahun secara automatik akan menjadi pengundi yang berdaftar tanpa perlu mengundi. Oleh realiti ini kami sayap pemuda mahukan ahli kami diberi peluang untuk mewakili suara-suara 54% pengundi di Sabah.
4. Jangan persoalkan kesetiaan kami yang rata-rata sejumlah majoriti dalam Exco Wiramuda StarSabah adalah Parti kami yang pertama dan kami bercadang untuk memilih inilah parti kami terakhir juga. Kami menerima suara abang dengan hati yang terbuka tapi di mana anda sebelum ini? Kenapa sekembalinya di Parti terus jadi Calon? Kenapa tidak berjuang dulu, kemudian baru bertanding bagi Kerusi Parlimen? Kalau Wiramuda boleh begitu mengapa anda tidak?
5. Akhir sekali, kami menghormati prinsip demokrasi yang sedang berjalan. Kami juga menerima tiada satu pun Kerusi daripada 40 diberikan kepada kepimpinan Exco Wiramuda (Walaupun pahit rasanya). Kami juga akan kekal setia di belakang YB Datuk Seri Presiden. Tapi jangan sesekali persoalkan perasaan kami, kami juga manusia, kami juga mempunyai hak untuk bersuara dan mempunyai emosi. Dikesempatan ini, kami mengucapkan Semoga Maju Jaya kepada Mantan Ketua Exco Wiramuda dalam haluan yang dipilih beliau.
Sekian Terima Kasih.
Yang masih budak dan Muda. Yang tidak pernah ada keahlian di parti lain.
Setiausaha Exco Wiramuda StarSabah
KENYATAAN MEMBINA.
Daripada Ketua Wiramuda Pertama STAR.
12 November 2025
1. Saya terpanggil untuk memberikan sedikit penjelasan berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh saudara Jordan Elron berkaitan perletakan jawatannya sebagai Ketua Exco Wiramuda StarSabah dan Ketua Bahagian Nabawan. Sebagai Ketua Wiramuda pertama, saya ingin menegaskan bahawa istilah “Wiramuda” yang saya ilhamkan, lahir dari semangat perjuangan tulus seterusnya menggubal sendiri Peraturan Tetap Wiramuda bagi memperkukuh struktur serta hala tuju perjuangan anak muda dalam STAR.
2. Sejak awal, perjuangan saya dalam STAR bukan bersifat retorik. Saya sendiri turun ke seluruh Sabah berceramah tentang hak-hak Sabah, menggerakkan kesedaran politik dan semangat 'Sabah First Mentality' dalam kalangan rakyat. Saya pernah dimasukkan ke dalam van polis berjam-jam semata-mata untuk menghalang saya daripada berucap di khalayak ramai, malah hampir dilokap kerana membantu gerakan SSKM pada waktu itu. Semua itu saya tempuhi demi mempertahankan maruah Sabah, bukan demi jawatan atau pencalonan.
3. Saya juga pernah meletakkan jawatan sebagai guru, meninggalkan kerjaya yang stabil dan selesa, semata-mata kerana tekad saya untuk berjuang menegakkan hak Sabah melalui wadah politik. Suatu ketika, STAR pernah berada dalam kerajaan, namun saya tidak mengambil kesempatan untuk “menuai hasil” atau mencari kepentingan peribadi. Perjuangan saya tetap konsisten, bukan untuk kedudukan, tetapi untuk prinsip.
4. Oleh itu, sebagai abang dalam ranah perjuangan ini, seikhlasnya saya ingin menasihati adik Jordan yang kami sayangi, agar tidak bertindak meninggalkan parti hanya kerana tidak dicalonkan. Dalam perjuangan politik, bukan semua pengorbanan dibalas dengan jawatan atau tiket pilihan raya. Kadangkala, ganjarannya hanya datang dalam bentuk kepercayaan dan pengalaman. Janganlah perjuangan ini disempitkan dengan istilah “menabur benih dan menuai hasil”, seolah-olah perjuangan ini hanya tentang siapa yang mendapat tempat.
5. Dalam sejarah perjuangan STAR, Presiden Datuk Dr Jeffrey G. Kitingan sendiri sudah melalui jalan yang sukar dan berliku. Beliau pernah ditahan ISA, melawan abangnya dalam pilihan raya, semata-mata kerana perbezaan prinsip dan ideologi politik. Ini menunjukkan bahawa perjuangan sebenar menuntut keberanian dan keikhlasan, bukan emosi dan kekecewaan. Inilah contoh teladan kita. Maka, jika benar saudara Jordan ikhlas kepada perjuangan STAR, beliau sepatutnya tetap bersama parti dan mematuhi arahan kepimpinan, bukan meninggalkan wadah yang telah membesarkannya.
6. Sebagai Ketua Wiramuda pertama, saya agak kecewa dengan sikap segelintir pemuda dalam STARSABAH hari ini yang mudah berputus asa dan mengeluarkan kenyataan bernada kecewa hanya kerana tidak dicalonkan. Anak muda sepatutnya menjadi benteng kekuatan dan keteguhan parti, bukan mencipta persepsi yang boleh melemahkan semangat perjuangan kita sendiri.
7. Akhir kata, saya menyeru semua ahli dan penyokong STARSABAH, khususnya generasi muda, agar terus berjuang dengan jiwa yang tulus dan ikhlas. Jangan biarkan perjuangan ini dicemari oleh rasa kecewa atau kepentingan peribadi. Kita berjuang bukan kerana individu, tetapi kerana keyakinan terhadap perjuangan menegakkan hak Sabah dan masa depannya.
Yang ikhlas,
Hasmin Azroy Abdullah,
Ketua Wiramuda STAR Pertama.