17/08/2026
Perlis Merdeka – Clean Up Day Kutip 402 Kg Sampah
ARAU: Semangat kemerdekaan diterjemahkan melalui usaha menjaga kebersihan apabila lebih 200 peserta berganding bahu mengutip 402 kilogram sampah dalam tempoh sejam menerusi program Perlis Merdeka – Clean Up Day di Simpang Empat, baru-baru ini.
Program anjuran Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis itu menghimpunkan komuniti setempat, pelajar serta agensi kerajaan bagi membersihkan hampir satu kilometer kawasan pesisiran pantai.
Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis yang juga Koordinator GRASS Perlis, Rosnani Nazri, berkata penyertaan daripada pelbagai peringkat usia membuktikan masyarakat semakin cakna terhadap kebersihan persekitaran.
“Alhamdulillah daripada generasi kecil sampailah ke veteran turut serta dalam program ini, bersama-sama kita kutip sampah.
“Walaupun nampak remeh, nampak kotor, tapi alhamdulillah sekarang ini masyarakat lebih cakna dalam menjaga kebersihan,” katanya kepada Buletin TV3 selepas program berkenaan.
Menurutnya, sampah yang dikutip kebanyakannya terdiri daripada plastik, polisterina dan sisa hanyut, termasuk barangan buangan daripada aktiviti nelayan.
Kesedaran untuk menjaga kebersihan itu turut dikongsi sukarelawan, Fatimah Su, 70, yang melihat tanggungjawab berkenaan perlu bermula daripada setiap individu dan tidak hanya diletakkan di bahu pihak berkuasa.
“Atas kesedaran kita sendiri sebenarnya untuk kita cantikkan negara kita, persekitaran kita, negara kita untuk nampak bersih. Bila bersih daripada rumah, ia juga akan bersih di persekitaran yang kita lalui, di jalan raya, pejabat kerajaan dan di mana-mana tempat,” katanya.
Dalam pada itu, penglibatan peserta daripada pelbagai peringkat usia dalam aktiviti sedemikian menunjukkan usaha menjaga kebersihan mampu menyatukan komuniti.
Artikel Penuh Di Ruangan Komen 🔽
Sumber : Buletin TV3
Teruskan Bersama Perlis Permai Untuk Berita Dan Info Semasa Negeri Perlis.