31/10/2025
PROGRAM KOMUNITI SULH DAN BAHAGIAN SOKONGAN KELUARGA (BSK), JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI SEMBILAN
Seremban , 31 Oktober 2025 โ Bahagian Sokongan Keluarga Seksyen Negeri Sembilan (BSK) telah terlibat sama di dalam penganjuran Program Komuniti Sulh & BSK Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan bertempat di Masjid Dato' Klana Petra AlHaj, Ampangan, Negeri Sembilan.
Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Dato' Hajjah Tengku Zamrah binti Tengku Sulaiman, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi dan NGO.
Objektif program ini untuk meraikan penerima sumbangan wang zakat wakalah daripada Yayasan AmanahRaya kepada 20 orang penerima yang terpilih mengikut kriteria yang telah ditentukan.
Turut menyerikan majlis dengan kehadiran Pengarah BSK Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Putrajaya iaitu Yang Berusaha Puan Maria binti Jilani bagi penyampaian Braille Orang Kurang Upaya (OKU) kepada YB Dato' Hajjah Tengku Zamrah binti Tengku Sulaiman dan juga Ketua Hakim Syarie Negeri Sembilan agar masyarakat yang tergolong dalam kategori kurang upaya cacat penglihatan di Negeri Sembilan khususnya mendapat manfaat daripadanya.
Penolong Pengarah Kanan BSK Negeri Sembilan, Puan Norazita binti Mohd Ali juga terlibat di dalam forum bertajuk - "ISU DAN CABARAN PEMERKASAAN KEHARMONIAN KELUARGA ISLAM : MASA KINI DI MALAYSIA".
Forum ini bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai peranan dan fungsi BSK dalam penguatkuasaan perintah nafkah, bantuan keluarga, serta khidmat sokongan kepada pihak-pihak yang terlibat dalam kes kekeluargaan Islam.
Program ini turut disertai oleh Unit Sulh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan yang diketuai oleh Dr. Zulzadi bin Mahmod, dengan fokus memperkenalkan fungsi dan peranan Sulh dalam menyelesaikan pertikaian keluarga secara aman serta berkesan di luar mahkamah.
Program ini menghimpunkan peserta dari seluruh komuniti masjid di Negeri Sembilan dengan objektif memperluaskan kefahaman berkenaan Pemerkasaan Keharmonian Keluarga Islam sejajar dengan tuntutan syarak dan prinsip undang-undang Islam.
Turut dimeriahkan lagi dengan pempamer-pempamer dari Jabatan Bantuan Guaman Negeri Sembilan, Jabatan Pendakwaan Syarie Negeri Sembilan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Tabung Haji dan Persatuan Peguam Syarie Negeri Sembilan.
Cerderahati turut diberikan kepada Pengerusi Masjid Dato' Klana Petra AlHaj, Ampangan, Negeri Sembilan. Di samping cabutan bertuah kepada peserta yang terlibat.
Penganjuran BSK dan Unit Sulh dalam program ini menunjukkan komitmen berterusan dari Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan dalam memperkasa keharmonian institusi kekeluargaan Islam dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap fungsi kehakiman syariah di peringkat akar umbi.