15/07/2026
14 Julai 2026
MAJLIS PERASMIAN PECAH TANAH MIDPORT SMART AI CONTAINER PORT
Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Pembangunan Midport Smart AI Container Port telah diadakan di perkarangan Quest Hotel, Port Dickson bagi pembangunan pelabuhan kontena pintar di Mukim Pasir Panjang, Daerah Port Dickson.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia dan turut dihadiri oleh YB Menteri Pengangkutan Malaysia, duta-duta serta wakil negara sahabat, ketua-ketua jabatan Persekutuan dan Negeri serta rakan-rakan strategik.
Perancangan projek ini telah bermula sejak tahun 2023 dan telah melalui proses penilaian serta kelulusan oleh pihak berkuasa berkaitan. Ini termasuk kelulusan Penilaian Risiko Marin (Marine Risk Assessment) , Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar serta Kajian Impak Sosial (SIA) sebelum projek mencapai peringkat pecah tanah.
Projek usaha sama strategik antara MBINS dengan Midports Holdings Sdn. Bhd. ini melibatkan anggaran pelaburan sebanyak RM3.4 bilion dan kawasan pembangunan kira-kira 180 ekar.
Dalam ucapannya, YAB Menteri Besar menegaskan bahawa kejayaan projek ini bukan sekadar diukur berdasarkan nilai pelaburan, tetapi sejauh mana manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat, khususnya masyarakat setempat di kawasan Linggi. Manfaat tersebut merangkumi pewujudan peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran serta penyertaan usahawan dan komuniti perniagaan tempatan.
Pembangunan bersepadu dengan Port Dickson Free Zone (PDFZ) ini disasarkan dapat mewujudkan sehingga 5,000 peluang pekerjaan baharu. Kebajikan komuniti nelayan yang terkesan turut diberi perhatian, termasuk melalui pemberian pampasan yang sewajarnya.
MBINS merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan / Agensi Negeri dan Persekutuan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memastikan projek ini dapat direalisasikan.