30/08/2026
Penerbitan Edisi Ogos 2026 kali ini membawakan peristiwa penting dan signifikan kepada ITM suatu masa dahulu.
1. Koleksi Khazanah Sejarah Universiti : Buku Panduan Siswa-Siswi Institiut Teknoloji MARA 1975/76
Menyingkap kembali lembaran sebuah penerbitan yang pernah menjadi panduan setiap mahasiswa dalam menempuh kehidupan kampus di Syah Alam. Di sebalik helaian-helaian ini merekodkan catatan awal kampus ITM – Bangunan Menara, Perpustakaan Pusat, Dewan Besar, Asrama I, Asrama II, Asrama III dan Asrama IV, serta bangunan Kajian Kejuruteraan, Kajian Hotel & Catering, Kajian Seni Gunaan dan Kajian Sains Gunaan yang menjadi mercu perkembangan ilmu pada era tersebut. Antara ejaan lama yang digunakan adalah Syah Alam, Institiut, Teknoloji dan yunit. Penerbitan ini bukan sekadar sebuah kalendar akademik, malah menghimpunkan pelbagai panduan penting kepada warga Institiut Teknoloji MARA. Antaranya ialah keterangan am mengenai kuliah, pentadbiran, kursus-kursus yang ditawarkan, sukatan pelajaran (syllabus), peraturan peperiksaan, bayaran peperiksaan, senarai jawatankuasa, persatuan dan kesatuan dalaman, peraturan di asrama serta tatatertib pelajar yang menjadi asas pembentukan sahsiah warga ITM.
2. UiTM Hari Ini Dalam Sejarah :Larian Obor Sukan SEA Games XV 1989
Acara Larian Obor Sukan SEA Games XV telah berlangsung dengan penuh semangat di Taman Tasik Shah Alam pada 19 Ogos 1989. Acara bersejarah ini menjadi simbol penyatuan, kesukanan dan perpaduan serantau sempena penganjuran Sukan SEA edisi ke-15 yang telah diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia pada 20 Ogos - 31 Ogos 1989. Kehadiran peserta dalam kalangan warga ITM serta sokongan masyarakat setempat memeriahkan suasana, sekali gus mencerminkan komitmen negara dalam menjayakan temasya sukan berprestij di peringkat Asia Tenggara.
3. Memori Korporat : Lawatan Rasmi Menteri Besar Perlis ke Institut Teknologi MARA Cawangan Perlis 1980
Pada 16 Mac 1980, Dato’ Jaafar Hassan, Menteri Besar Perlis ketika itu, telah mengadakan satu lawatan rasmi ke Institut Teknologi MARA Cawangan Perlis yang terletak di Arau. Lawatan ini bertujuan meninjau perkembangan institusi pendidikan tinggi di negeri Perlis di samping memperkukuh hubungan antara kerajaan negeri dan pihak pengurusan kampus. Ketibaan beliau disambut oleh barisan pengurusan, para pensyarah serta kakitangan dalam suasana penuh mesra dan hormat. Sepanjang lawatan tersebut, beliau dibawa meninjau sekitar kampus bagi melihat kemudahan akademik, bangunan pentadbiran serta suasana pembelajaran para pelajar. Lawatan ini memberi peluang kepada beliau untuk menilai sendiri tahap kemajuan institusi serta memahami keperluan semasa dalam usaha memantapkan lagi pembangunan pendidikan tinggi di negeri ini. Selain itu, beliau turut meluangkan masa beramah mesra dan menikmati jamuan makan tengah hari bersama staf akademik dan pentadbiran. Majlis jamuan tersebut berlangsung dalam suasana santai dan harmoni, sekali gus membuka ruang kepada perbincangan serta pertukaran pandangan mengenai peranan institusi pendidikan dalam pembangunan negeri Perlis.
Layari lebih banyak cerita dan sejarah di Memori UiTM.