12/04/2026
Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Pengerang (MATC) telah berlangsung dengan jayanya pada 11 April 2026. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Saudara Ibrahim Mohd Nor Ketua Cabang Keadilan Kota tinggi dengan suasana yang penuh semangat dan komitmen dalam kalangan anggota yang hadir.
Seramai 51 orang ahli telah menghadiri mesyuarat ini, menunjukkan sokongan yang padu terhadap kepimpinan cabang serta kesungguhan dalam memperkukuhkan perjuangan parti di peringkat akar umbi. Sepanjang mesyuarat berlangsung, beberapa usul penting telah dibentangkan dan dibincangkan secara teliti.
Antara usul yang diketengahkan termasuk cadangan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), bertanding di salah satu kerusi Parlimen di negeri Johor. Selain itu, penambahan ahli parti turut diberi perhatian sebagai langkah memperkukuhkan organisasi serta memperluaskan pengaruh parti di kawasan setempat.
Mesyuarat juga menekankan kepentingan menjalin hubungan yang lebih erat dengan Pakatan Harapan (PH) demi memastikan kerjasama politik yang lebih mantap dan berkesan. Di samping itu, isu penambahbaikan infrastruktur kesihatan turut dibangkitkan, khususnya di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), termasuk cadangan untuk menambah bilangan ambulans bagi meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat.
Akhir sekali, Pengerusi Tetap Saudara Yusof Abd Rahman, telah menangguhkan mesyuarat pada jam 5.39 petang pada hari yang sama. Mesyuarat ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada gerak kerja yang lebih tersusun dan berkesan demi kepentingan rakyat serta kemajuan cabang Pengerang.
Sekian,
TERIMA KASIH.
-Pengerang Cemerlang-
Faizul Abd Ghani
Ketua Cabang Keadilan Pengerang