25/02/2026
24 𝘍𝘦𝘣𝘳𝘶𝘢𝘳𝘪 2026
𝗣𝗜𝗡𝗗𝗔𝗔𝗡 𝗣𝗘𝗥𝗟𝗘𝗠𝗕𝗔𝗚𝗔𝗔𝗡 𝗣𝗘𝗠𝗜𝗦𝗔𝗛𝗔𝗡 𝗔𝗚-𝗣𝗣:
𝗞𝗘𝗣𝗘𝗥𝗟𝗨𝗔𝗡 𝗠𝗘𝗞𝗔𝗡𝗜𝗦𝗠𝗘 𝗦𝗘𝗠𝗔𝗞-𝗜𝗠𝗕𝗔𝗡𝗚 𝗠𝗘𝗟𝗜𝗕𝗔𝗧𝗞𝗔𝗡 𝗣𝗔𝗥𝗟𝗜𝗠𝗘𝗡
Kami mengalu-alukan pembentangan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 yang bertujuan memisahkan fungsi pendakwaan jenayah dari jawatan Peguam Negara.
Ini selari dengan tuntutan reformasi yang diperjuangkan selama ini untuk memastikan pendakwaan dilakukan secara bebas (tanpa pengaruh dan campur tangan mana-mana pihak berkepentingan), adil dan telus.
Ahli-ahli Parlimen kerajaan telah dimaklumkan bahawa pengundian untuk meluluskan akta ini dijangka akan dibuat pada 3 Mac 2026 (Selasa minggu depan) yang memerlukan kelulusan undi dua pertiga Dewan Rakyat.
Berdasarkan bacaan kali pertama di Dewan Rakyat semalam, berikut adalah intipati pindaan Perlembagaan yang dicadangkan kerajaan berkenaan mekanisme untuk mewujudkan satu jawatan baru Pendakwa Raya:
i) Perkara 138 Fasal 1A – Calon Pendakwa Raya akan disyorkan oleh sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan;
ii) Perkara 145A:
a. Pendakwa Raya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut budi bicaranya, atas syor Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja;
b. Syarat pelantikan Pendakwa Raya ialah seorang warganegara dan mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya sepuluh tahun dalam litigasi;
c. Tempoh jawatan Pendakwa Raya ialah tujuh tahun, kecuali dia memilih untuk meletakkan jawatan atau dipecat melalui kaedah tribunal;
d. Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan boleh membuat representasi kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memecat Pendakwa Raya, sama ada atas alasan tidak berdaya untuk menunaikan fungsi jawatannya dengan sepatutnya (atas sebab kelemahan tubuh atau akal), atau salah laku atau berperangai buruk;
e. Berdasarkan representasi Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik suatu tribunal, dan boleh atas syor tribunal itu memecat Pendakwa Raya dari jawatan.
iii) Perkara 145B memerihalkan kuasa dan tugas Pendakwa Raya.
Kami juga mengambil maklum pendirian bersama pertubuhan-pertubuhan sivil yang terdiri dari BERSIH, C4 Center, IDEAS, Projek SAMA, Rasuah Busters, IKRAM Malaysia dan ABIM yang dikeluarkan semalam (Isnin, 23 Februari 2026).
Mereka menggesa supaya Ahli-ahli Parlimen memberi perhatian kepada keperluan menguatkan lagi semangat pemisahan kuasa dan memperkukuhkan semak imbang dalam pindaan Perlembagaan ini, supaya tidak ada mana-mana satu individu memegang kekuasaan penuh dalam proses ini.
Oleh itu, pertubuhan-pertubuhan sivil tersebut telah mencadangkan supaya pelantikan Pendakwa Raya melalui proses berlapis yang telus dan bertanggungjawab dengan melibatkan Parlimen (sebagai institusi terbesar yang dipilih oleh rakyat) di dalam proses ini.
Kami mempunyai pandangan yang selari dengan pendirian pertubuhan-pertubuhan sivil ini, terutamanya setelah menginsafi beberapa kejadian unik sebelum ini.
Contoh yang baik adalah berhubung kritikan yang memuncak terhadap tingkah laku Peguam Negara (yang pada ketika itu memegang kuasa seorang Pendakwa Raya) semasa skandal 1MDB.
Walaupun kritikan rakyat terhadap perilaku Peguam Negara ketika itu dalam mengendalikan siasatan skandal 1MDB turut diterjemahkan di Parlimen oleh ahli-ahli Parlimen, rakyat dan Parlimen tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk mengambil tindakan terhadap Pendakwa Raya.
Malah, berdasarkan cadangan pindaan Perlembagaan dalam bentuk sekarang, secara hipotetikal, sekiranya tingkah laku dan prestasi Pendakwa Raya tidak diperakukan oleh rakyat sehingga rakyat menzahirkan keputusan untuk menukar kerajaan dan ahli-ahli Parlimen, seorang Pendakwa Raya itu masih boleh kekal dengan jawatan dan kuasanya.
Ini mewujudkan satu institusi penguatkuasaan undang-undang yang kuasanya dipusatkan kepada beberapa orang sahaja, iaitu:
i) Perdana Menteri, yang mempunyai kuasa mencadangkan nama-nama anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan;
ii) Anggota-anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, yang mempunyai kuasa mencadangkan nama calon Pendakwa Raya kepada Yang di- Pertuan Agong dan berkuasa membuat representasi menubuhkan tribunal untuk memecat Pendakwa Raya; dan
iii) Pendakwa Raya, yang jawatan dan kuasanya mempunyai perlindungan Perlembagaan, asalkan dia mempunyai hubungan baik dengan Perdana Menteri dan anggota-anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.
Oleh yang demikian, kami menyeru kerajaan mengambil kira cadangan-cadangan dan pendirian kami seperti berikut:
(𝟭) 𝗔𝗸𝘁𝗮 𝗣𝗲𝗿𝗹𝗲𝗺𝗯𝗮𝗴𝗮𝗮𝗻 (𝗣𝗶𝗻𝗱𝗮𝗮𝗻) (𝗡𝗼. 𝟮) 𝟮𝟬𝟮𝟲 𝗶𝗻𝗶 𝗵𝗲𝗻𝗱𝗮𝗸𝗹𝗮𝗵 𝗱𝗶𝗿𝘂𝗷𝘂𝗸 𝘁𝗲𝗿𝗹𝗲𝗯𝗶𝗵 𝗱𝗮𝗵𝘂𝗹𝘂 𝗸𝗲𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗝𝗮𝘄𝗮𝘁𝗮𝗻𝗸𝘂𝗮𝘀𝗮 𝗣𝗶𝗹𝗶𝗵𝗮𝗻 𝗞𝗵𝗮𝘀 𝗣𝗮𝗿𝗹𝗶𝗺𝗲𝗻 (𝗛𝗮𝗸 𝗔𝘀𝗮𝘀𝗶 𝗠𝗮𝗻𝘂𝘀𝗶𝗮, 𝗣𝗶𝗹𝗶𝗵𝗮𝗻 𝗥𝗮𝘆𝗮 𝗱𝗮𝗻 𝗥𝗲𝗳𝗼𝗿𝗺𝗮𝘀𝗶 𝗜𝗻𝘀𝘁𝗶𝘁𝘂𝘀𝗶) 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗱𝗶𝗽𝗲𝗻𝗴𝗲𝗿𝘂𝘀𝗶𝗸𝗮𝗻 𝗼𝗹𝗲𝗵 𝗔𝗵𝗹𝗶 𝗣𝗮𝗿𝗹𝗶𝗺𝗲𝗻 𝗦𝗲𝗹𝗮𝘆𝗮𝗻𝗴, 𝗬𝗕 𝗪𝗶𝗹𝗹𝗶𝗮𝗺 𝗟𝗲𝗼𝗻𝗴.
Langkah merujuk pindaan Perlembagaan ini kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adalah selari dengan semangat pemisahan kuasa di antara cabang eksekutif dan perundangan; yang merupakan salah satu tonggak utama reformasi institusi yang dibawa oleh kerajaan Madani sendiri.
Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen hendaklah mendapatkan maklum balas dan pendirian rentas parti dari ahli-ahli Parlimen untuk menambah baik cadangan pindaan Perlembagaan sedia ada.
(𝟮) 𝗙𝘂𝗻𝗴𝘀𝗶 𝗣𝗮𝗿𝗹𝗶𝗺𝗲𝗻 𝗱𝗶𝗺𝗮𝘀𝘂𝗸𝗸𝗮𝗻 𝗱𝗮𝗹𝗮𝗺 𝗽𝗿𝗼𝘀𝗲𝘀 𝗽𝗲𝗹𝗮𝗻𝘁𝗶𝗸𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗻𝗱𝗮𝗸𝘄𝗮 𝗥𝗮𝘆𝗮.
Antara mekanisme yang boleh dipertimbangkan ialah seperti berikut:
(a) Calon Pendakwa Raya yang disyorkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan hendaklah melalui proses prosiding pengesahan (𝗰𝗼𝗻𝗳𝗶𝗿𝗺𝗮𝘁𝗶𝗼𝗻 𝗽𝗿𝗼𝗰𝗲𝗲𝗱𝗶𝗻𝗴 𝗮𝘁𝗮𝘂 𝗰𝗼𝗻𝗳𝗶𝗿𝗺𝗮𝘁𝗶𝗼𝗻 𝗵𝗲𝗮𝗿𝗶𝗻𝗴) di peringkat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang disiarkan kepada orang ramai;
(b) Calon yang telah melepasi tapisan prosiding pengesahan diundi oleh Dewan Rakyat dan memerlukan undi majoriti untuk disahkan;
(c) Calon Pendakwa Raya yang telah diundi dan disahkan Parlimen diangkat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan dan pelantikan.
(𝟯) 𝗙𝘂𝗻𝗴𝘀𝗶 𝗣𝗮𝗿𝗹𝗶𝗺𝗲𝗻 𝗱𝗶𝗺𝗮𝘀𝘂𝗸𝗸𝗮𝗻 𝗱𝗮𝗹𝗮𝗺 𝗽𝗿𝗼𝘀𝗲𝘀 𝗽𝗲𝗺𝗲𝗰𝗮𝘁𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗻𝗱𝗮𝗸𝘄𝗮 𝗥𝗮𝘆𝗮.
Pindaan Perlembagaan memasukkan satu mekanisme supaya Dewan Rakyat boleh membuat satu usul untuk memulakan proses tribunal ke atas seorang Pendakwa Raya (tertakluk kepada bentuk-bentuk kesalahan seperti yang telah digariskan di dalam draf sedia ada), yang memerlukan undi dua pertiga untuk diluluskan.
Sekiranya diluluskan, Parlimen berhak membuat representasi kepada Yang di- Pertuan Agong supaya satu tribunal ditubuhkan, seperti mana kaedah yang digariskan di dalam cadangan Perkara 145A.
(𝟰) 𝗧𝗲𝗺𝗽𝗼𝗵 𝗹𝗮𝗻𝘁𝗶𝗸𝗮𝗻 𝘀𝗲𝗼𝗿𝗮𝗻𝗴 𝗣𝗲𝗻𝗱𝗮𝗸𝘄𝗮 𝗥𝗮𝘆𝗮 𝗮𝗱𝗮𝗹𝗮𝗵 𝗲𝗺𝗽𝗮𝘁 𝘁𝗮𝗵𝘂𝗻.
Tempoh tujuh tahun yang dicadangkan adalah terlalu panjang dan boleh menjadikan seorang Pendakwa Raya terlalu berkuasa merentasi beberapa kerajaan.
Tempoh yang terlalu panjang juga akan memisahkan kuasa rakyat yang dizahirkan di peti undi dari mempunyai apa-apa makna kepada perjalanan pentadbiran undang- undang.
Kami bertanggungjawab menyampaikan hasrat pengundi-pengundi progresif yang mahukan proses berlapis seperti ini untuk mengelakkan kuasa melantik dan memecat Pendakwa Raya berpusat di kalangan beberapa orang sahaja.
Sokongan kami kepada pindaan Perlembagaan ini (yang memerlukan undi dua pertiga) adalah bergantung dan tertakluk kepada keterbukaan kerajaan untuk mempertimbangkan cadangan- cadangan ini.
Lebih-lebih lagi, kami berpandangan sesuatu pindaan sepenting ini tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa dan memerlukan rundingan dan pandangan semua pihak.
𝗗𝗶𝘁𝗮𝗻𝗱𝗮𝘁𝗮𝗻𝗴𝗮𝗻𝗶 𝗯𝗲𝗿𝘀𝗮𝗺𝗮:
𝗥𝗔𝗙𝗜𝗭𝗜 𝗥𝗔𝗠𝗟𝗜
AP Pandan
𝗪𝗢𝗡𝗚 𝗖𝗛𝗘𝗡
AP Subang
𝗥𝗢𝗗𝗭𝗜𝗔𝗛 𝗜𝗦𝗠𝗔𝗜𝗟
AP Ampang
𝗡𝗜𝗞 𝗡𝗔𝗭𝗠𝗜 𝗡𝗜𝗞 𝗔𝗛𝗠𝗔𝗗
AP Setiawangsa
𝗟𝗘𝗘 𝗖𝗛𝗘𝗔𝗡 𝗖𝗛𝗨𝗡𝗚
AP Petaling Jaya
𝗦 𝗞𝗘𝗦𝗔𝗩𝗔𝗡
AP Sg Siput
𝗭𝗔𝗛𝗜𝗥 𝗛𝗔𝗦𝗦𝗔𝗡
AP Wangsa Maju
𝗕𝗔𝗞𝗛𝗧𝗜𝗔𝗥 𝗪𝗔𝗡 𝗖𝗛𝗜𝗞
AP Balik Pulau
𝗢𝗡𝗡 𝗔𝗕𝗨 𝗕𝗔𝗞𝗔𝗥
AP Batu Pahat
𝗛𝗔𝗦𝗦𝗔𝗡 𝗞𝗔𝗥𝗜𝗠
AP Pasir Gudang
Kenyataan media penuh boleh diakses di pautan ini:
https://drive.google.com/file/d/1R82yGu4A9-FY7Tunjv_brmxDRC2IJA2P/view?usp=sharing