30/05/2026
๐๐๐ก๐ฌ๐๐ง๐๐๐ก ๐ ๐๐๐๐ | ๐ฏ๐ฌ ๐ ๐๐ ๐ฎ๐ฌ๐ฎ๐ฒ
๐๐๐๐๐๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐.๐ ๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐ ๐๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐
Saya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung peningkatan bayaran interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion sementara pelaksanaan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.
Pengumuman ini membuktikan bahawa pendekatan Kerajaan Negeri Sabah di bawah kepimpinan YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang memilih jalan rundingan, kebijaksanaan dan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan, akhirnya membawa hasil yang nyata kepada rakyat Sabah.
Peningkatan pembayaran ini juga menolak dakwaan tidak berasas kononnya Kerajaan Negeri Sabah tidak memperjuangkan hak-hak Sabah. Hakikatnya, perjuangan hak Sabah bukan hanya diukur melalui laungan kuat di pentas politik atau kenyataan beremosi di media sosial, tetapi melalui hasil yang dapat dibawa pulang kepada negeri dan rakyat.
Proses menuntut serta memuktamadkan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk pelaksanaan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan, bukan proses mudah. Ia melibatkan perincian undang-undang, fiskal, pentadbiran dan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri.
Rundingan memerlukan kesabaran, ketelitian dan rasa hormat antara kedua-dua pihak. Kita tidak boleh memilih jalan yang berkonfrontasi secara berlebihan atau membakar sentimen rakyat, tetapi akhirnya tidak membawa apa-apa hasil konkrit kepada Sabah.
GRS memilih pendekatan yang lebih matang. Kita tegas dalam mempertahankan hak Sabah, tetapi pada masa yang sama bijak menjaga hubungan kerja dengan Kerajaan Persekutuan. Pendekatan inilah yang membolehkan rundingan terus berjalan, ruang penyelesaian dibuka dan hasil interim yang lebih besar dapat diperoleh sementara formula muktamad dimuktamadkan.
Peningkatan bayaran interim kepada RM1.5 bilion ini bukan penyelesaian akhir, tetapi ia adalah satu perkembangan penting. Bayaran ini menunjukkan bahawa tuntutan Sabah terus didengar, dipertimbangkan dan diterjemahkan kepada komitmen kewangan yang lebih besar oleh Kerajaan Persekutuan.
PGRS juga mengambil maklum penegasan Perdana Menteri bahawa pelaksanaan hak 40 peratus kepada Sabah bukan lagi persoalan sama ada ia perlu dilaksanakan atau tidak, sebaliknya hanya menunggu perincian mekanisme dan kaedah pelaksanaan. Ini adalah perkembangan yang amat penting dalam sejarah perjuangan MA63.
Oleh itu, rakyat Sabah perlu melihat perkara ini secara adil. Kerajaan Negeri tidak pernah berdiam diri. Rundingan terus berjalan, tuntutan terus dibawa, dan hasilnya semakin dapat dilihat secara berperingkat.
Kita memahami bahawa rakyat Sabah mahu penyelesaian yang segera. Namun dalam isu besar seperti ini, kerajaan yang bertanggungjawab tidak boleh bertindak secara tergesa-gesa atau hanya mengejar tepukan politik jangka pendek. Apa yang lebih penting ialah memastikan keputusan yang dibuat benar-benar kukuh, boleh dilaksanakan dan memberi manfaat jangka panjang kepada Sabah.
PGRS akan terus menyokong usaha Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan untuk memuktamadkan pelaksanaan hak 40 peratus ini dengan segera, telus dan adil sebagaimana semangat Perjanjian Malaysia 1963.
Perjuangan hak Sabah mesti diteruskan dengan keberanian dan kebijaksanaan. Kita tidak menolak ketegasan, tetapi ketegasan mesti disertai strategi. Kita tidak menolak suara rakyat, tetapi suara rakyat mesti diterjemahkan kepada hasil, bukan sekadar slogan.
Pengumuman RM1.5 bilion ini membuktikan bahawa jalan rundingan yang dipilih oleh GRS bukan jalan lemah, tetapi jalan yang membawa hasil. Inilah politik matang yang diperlukan Sabah, politik yang bukan sekadar lantang, tetapi berkesan.
Datuk Haji Nizam DSP Haji Abu Bakar Titingan
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS)