23/11/2020
Kalau tiada simpanan asas dalam Akaun 1, tidak ada duit untuk sara hidup bila sudah tidak bekerja di usia tua
Bila dah bekerja 15 ke 20 tahun, dan tiap-tiap bulan gaji kita ada potongan untuk tujuan pencaruman ke dalam KWSP, sudah tentu hari ini sudah besar jumlah simpanan kita. Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit, kata orang tua. Baki dalam KWSP bukannya kita tengok setiap hari, baik Akaun 1 atau 2, kerana kita tahu ianya simpanan untuk hari tua.
Ini juga menyenangkan kita menabung untuk hari persaraan, kerana apabila kita sudah tinggalkan dunia pekerjaan nanti, kita masih perlukan wang untuk menyara kehidupan sendiri dan keluarga.
Menurut KWSP, kita perlu ada simpanan sekurang-kurangnya RM240,000 menjelang usia 55 tahun agar kita dapat menampung perbelanjaan sebanyak RM1000 sebulan untuk tempoh 20 tahun dari usia tersebut.
Air ada pasang surutnya, begitu juga rezeki kita. Kalau selama ini kita bernasib baik dapat bekerja dan dibayar gaji secukupnya, hari ini tidak semestinya. Banyak perkara yang berlaku di luar jangkaan sesiapa, dan di luar kawalan semua. Kesannya, ramai yang hilang pekerjaan dan tidak lupa dipotong gaji.
Peluang untuk mengeluarkan simpanan daripada Akaun 2 KWSP (melalui i-Lestari) dan mulai Januari nanti Akaun 1 menerusi i-Sinar sudah pasti membuat ramai menghembus nafas lega.
Pada masa yang sama, sudah tentu ramai yang bertanya,βKan banyak lagi simpanan dalam Akaun 1 aku, kenapa boleh bawa keluar sehingga 9000 saja?β. Ini bagi mengurangkan risiko simpanan persaraan terjejas.
Lebih-lebih lagi kerana ramai orang mempunyai jumlah caruman Akaun 1 yang kurang daripada paras simpanan asas untuk tahap umur mereka supaya mempunyai wang yang mencukupi di usia persaraan. Sebagai contoh, seorang yang berusia 34 tahun perlu mempunyai baki Akaun 1 sekurang-kurangnya RM52,000.
Jika pengeluaran mengurangkan baki Akaun 1 bawah paras simpanan asas ia akan memberi kesan kepada p**angan yang akan kita terima, dan seterusnya menyukarkan kemampuan kita capai paras RM240,000 di umur 55 nanti. Seperti yang pakcik dah sebut sebelum ni, RM9,000 yang dikeluarkan hari ini boleh mengurangkan hasil pelaburan lebih RM30,000 di masa hadapan.
Tidak dapat dinafikan ramai yang terjejas, dan sebarang sinar harapan sangatlah diharapkan.
Peluang mengeluarkan wang dari Akaun 1 akan dapat membantu ramai orang memenuhi keperluan perbelanjaan mereka, dan pada masa yang sama melindungi simpanan untuk persaraan di masa hadapan.