10/02/2026
KENYATAAN MEDIA PESURUHJAYA PAS SABAH
PBT Diseru Sedia Surau Sementara di Bazar Ramadan
1. Saya menyeru kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Sabah agar menyediakan surau sementara atau ruang solat yang sesuai di setiap tapak bazar Ramadan sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.
2. Bazar Ramadan bukan sekadar ruang ekonomi, tetapi juga medan menghidupkan syiar Islam. Dalam kesibukan peniaga mencari rezeki dan orang ramai membeli juadah berbuka, kewajipan solat tidak boleh diketepikan.
3. Kemudahan surau yang berdekatan akan membantu peniaga dan pengunjung menunaikan perintah Allah dengan mudah, teratur dan selesa. Dengan adanya ruang solat, mereka tidak perlu lagi tergesa-gesa meninggalkan tapak bazar atau berkejar mencari masjid dan surau yang jauh.
4. Apabila urusan ibadah dipermudahkan, peniaga juga dapat menguruskan perniagaan dengan lebih lancar tanpa kekangan masa. Insya-Allah, rezeki yang diperoleh akan menjadi lebih berkat.
5. Saya berharap semua pihak, termasuk penganjur dan agensi berkaitan, dapat memberi perhatian serius terhadap perkara ini supaya bazar Ramadan di negeri kita bukan sahaja meriah, malah dipenuhi nilai takwa serta menjadi contoh pengurusan yang mesra ibadah.
6. Negeri yang diberkati bukan diukur pada ramainya manusia berniaga, tetapi pada ramainya manusia yang taat kepada perintah Tuhan.
YB DATUK DR. ALIAKBAR GULASAN
Pesuruhjaya PAS Sabah
ADUN Karambunai
9 Februari 2026