26/07/2026
BERSATU DEMI NISMILAN: Satu Anjakan Paradigma Tadbir Urus Negeri
Analisis Ringkas Rangka Tawaran PRU Dewan Negeri Negeri Sembilan Ke-16.
Setiap kali pilihan raya negeri tiba, rakyat sering disogokkan manifesto yang penuh retorik tetapi kosong dari segi mekanisme pelaksanaan.
Apa yang membezakan "BERSATU Demi Nismilan" ialah struktur tawarannya. Ianya bukan sekadar janji, tetapi rangka kerja bersasar merentasi sembilan teras utama kehidupan rakyat: tadbir urus, ekonomi, pelancongan, pertanian, pendidikan, belia, wanita, FELDA, dan kesejahteraan rakyat.
1. Tadbir Urus Yang Telus
Cadangan penubuhan Jawatankuasa Khas bagi memantau pelaksanaan tawaran, serta peruntukan tahunan yang saksama untuk semua Ahli Dewan Undangan Negeri tanpa mengira parti, menunjukkan komitmen kepada akauntabiliti. Tawaran ini sesuatu yang jarang dilihat dalam manifesto politik konvensional.
2. Ekonomi Berimpak Tinggi
Dengan sasaran 50,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dalam tempoh 5 tahun, menerusi Koridor Industri Halal, Koridor Logistik, serta pembangunan sektor masa depan (AI, robotik, kenderaan elektrik), BERSATU meletakkan Negeri Sembilan bukan sekadar sebagai negeri lalu-lalang antara Selangor dan Melaka, tetapi sebagai hab ekonomi serantau.
3. Anak Muda: Jantung Pembangunan Nismilan
Inilah nadi generasi akan datang. Rancangan pembangunan Hab Digital Nogori, Nogori Innovation Accelerator dengan dana permulaan sehingga RM50,000, insentif Tani Belia, Skim Rider, sehingga program NS Drone Pilot yang melahirkan 500 juruterbang dron berlesen. Ini bukan tawaran generik "kerja untuk semua" tetapi ianya mengiktiraf secara total realiti ekonomi gig, keusahawanan digital, dan sektor teknologi tinggi yang menjadi destinasi kerjaya belia hari ini.
4. Wanita, Keluarga & Golongan Terpinggir
Dari Bantuan Lahir, Kasih Ibu Tunggal, sehingga inisiatif Srikandi Bangkit untuk wanita yang kematian atau berpisah suami. Tawaran ini menyentuh realiti sosial yang sering diabaikan oleh dasar arus perdana.
5. Kesejahteraan Rakyat Yang Menyeluruh
Dana Skim Sihat, Nismilan Critical Illness Fund bernilai RM25 juta, mitigasi banjir bersepadu, sehingga infrastruktur mesra OKU. Ini adalah cetak biru sebuah negeri yang benar-benar "Rakyat Dibelo."
Kesimpulan BERSATU Demi Nismilan bukan sekadar slogan tetapi satu tawaran holistik yang cuba menjawab persoalan asas: siapa yang benar-benar jaga negeri, bela rakyat, dan pelihara adat?
Pilihan di tangan rakyat Negeri Sembilan pada PRU Dewan Negeri Ke-16.