28/03/2026
Berakas, 26 Mac 2026 – Seorang Al-Hafiz Negara, Yang Mulia Awang Muhammad Ekram ‘Afif bin Haji Awang Mohd Hanafi, telah kembali ke Negara Brunei Darussalam selepas memenuhi jemputan sebagai Imam Solat Sunat Tarawih di Japan Da’wah Centre, Osaka, Jepun sepanjang bulan Ramadan 1447 Hijrah.
Beliau bersama 11 orang huffaz dari Universiti Sains Islam Malaysia telah berkhidmat sebagai imam di beberapa masjid sekitar Osaka selama 38 hari, selain turut menyampaikan tazkirah serta terlibat dalam aktiviti dakwah dan kemasyarakatan.
Sepanjang keberadaan di Jepun, beliau juga diberi penghormatan mengimamkan sembahyang sunat Aidilfitri serta menyampaikan khutbah, di samping menyertai pelbagai program keagamaan dan kebudayaan.
Program penghantaran ini merupakan inisiatif Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Qur’an MABIMS, Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan kerjasama IQRA’ Centre for Ummah, Universiti Sains Islam Malaysia dan Japan Da’wah Centre, Osaka. Inisiatif ini bertujuan memperkasa kemahiran huffaz serta memartabatkan syiar Islam di peringkat antarabangsa.