11/07/2026
WARGA KBMK POSITIF UNTUK TERUS MEMBUDAYA SEMANGAT HIJRAH DALAM PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN
Rabu
24 Jun 2026
4.30 Petang
Bersempena ketibaan Tahun Baharu Hijrah 1448H, Pejabat Atase Agama Kaherah dengan kerjasama Kelab Kedutaan Besar Malaysia Kaherah telah menganjurkan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) Tahun 1448H / 2026M.
Menelusuri sirah agung penghijrahan junjungan besar Nabi Muhammad SAW, majlis ini menjadi wadah memperkukuh penghayatan terhadap nilai-nilai hijrah sebagai pemangkin perubahan diri, pembinaan masyarakat serta pengukuhan tamadun berteraskan keimanan, ilmu dan akhlak.
Majlis dimulakan dengan sesi ceramah penghayatan peristiwa Hijrah Rasulullah SAW bertemakan "Hijrah Membawa Perubahan, MADANI Membina Peradaban" yang telah disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Muhammad Afifi Abdullah, calon Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Universiti Al-Azhar. Pengisian tersebut mengupas hikmah hijrah sebagai inspirasi dalam membentuk peribadi unggul, memperkukuh perpaduan serta membina masyarakat yang berdaya tahan dan berintegriti.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucaptama sempena Tahun Baharu Hijrah 1448 yang telah disampaikan oleh TYT Dato' Mohd Tarid Sufian, Duta Besar Malaysia ke Republik Arab Mesir. Dalam ucapannya, beliau menyeru seluruh warga Kedutaan agar menjadikan semangat hijrah sebagai asas kepada pembaharuan diri, peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan serta pengukuhan budaya kerja yang berteraskan nilai ihsan, amanah dan kecemerlangan demi mengangkat imej Malaysia di persada antarabangsa.
Penganjuran majlis ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkaya penghayatan penjawat awam terhadap nilai-nilai Islam selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, sekali gus membudayakan nilai integriti, kesejahteraan, ihsan dan kecemerlangan dalam penyampaian perkhidmatan awam.
Turut memeriahkan majlis ialah YBhg. Dato' Haji Shamsul Najmi Shamsuddin, Menteri Penasihat (Pendidikan), Education Malaysia Egypt; YBrs. Encik Dzikri Md Rashid, Ketua Canseri Kedutaan Besar Malaysia Kaherah, pegawai-pegawai kanan Kedutaan, Atase-atase Pendidikan Negeri serta warga Kedutaan Besar Malaysia Kaherah bersama seisi keluarga.