14/07/2026
[ NGA KOR MING KENA JAWAB: INI PRINSIP ATAU SEKADAR RETORIK POLITIK? ]
Kenyataan terbaru YB Nga Kor Ming masih gagal menjawab persoalan utama rakyat. Sebaliknya, penjelasan yang diberikan menimbulkan lebih banyak persoalan tentang pendirian beliau sendiri.
Sebelum PRN Johor, beliau pernah memberikan gambaran bahawa beliau bersedia meletakkan jawatan sekiranya UMNO menang besar dan Datuk Seri Najib Razak dibebaskan. Kenyataan itu difahami ramai sebagai satu komitmen yang dibuat secara terbuka.
Namun selepas kemenangan besar Barisan Nasional di Johor, penjelasan baharu diberikan bahawa kenyataan tersebut hanyalah pandangan beliau sebagai seorang peguam dalam mempertahankan institusi kehakiman.
Persoalannya, mengapa penjelasan itu hanya muncul selepas timbul desakan supaya beliau menunaikan kata-kata yang pernah dibuat?
Jika benar ia hanya berkaitan prinsip undang-undang, mengapa tidak dijelaskan dengan terang sejak awal? Mengapa rakyat memahami perkara itu sebagai satu pendirian politik?
Isunya bukan soal mempertikaikan institusi kehakiman. Isu sebenar ialah soal tanggungjawab seorang pemimpin terhadap kenyataan sendiri.
Jangan ubah naratif apabila keadaan berubah. Jika benar ia soal prinsip, maka prinsip itu perlu dijelaskan dan dipertahankan secara konsisten, bukan hanya selepas menerima tekanan.
YB Nga Kor Ming sering menyebut “*Berani Kerana Benar*.” Tetapi keberanian sebenar bukan sekadar mempertahankan hujah, sebaliknya berani bertanggungjawab terhadap setiap kata-kata yang telah dibuat.
Rakyat hanya mahu jawapan yang jelas. Ini soal prinsip atau sekadar retorik politik?
Pemimpin dinilai bukan pada alasan selepas sesuatu berlaku, tetapi pada keberanian memegang kata-kata sendiri.
Nor Suhailah Shamsudin
Timbalan Ketua 1 Jabatan Penerangan SiswaPAS 2026/2027