26/08/2019
GAMBAR PENERIMAAN HADIAH & SIJIL
KEJOHANAN SEPAK TAKRAW TERTUTUP MELAKA PIALA MERDEKA
ALOR GAJAH 25 Ogos - Penganjuran kejohanan sepak takraw diperingkat tempatan secara berterusan penting sebagai landasan untuk melahirkan bakat-bakat baharu dalam sukan tradisi itu.
Pada masa sama, persatuan sepak takraw negeri mahupun bahagian juga perlu menjengah kawasan-kawasan kampung yang berpotensi menjadi lubuk kelahiran pemain baharu yang mungkin mengharumkan nama Melaka suatu hari nanti.
Atas kesedaran itu, Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) dan Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Bahagian Alor Gajah dengan kerjasama Teknokrat Negeri Melaka tampil dengan inisiatif menganjurkan Kejohanan Sepak Takraw Piala Merdeka.
Kejohanan Sepak Takraw Tertutup Melaka Piala Merdeka yang julung kali diadakan tahun ini mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan 36 pasukan dari seluruh Negeri ini.
Pengelola program, Mohd Erfan Mahrilar berkata, kejohanan sehari itu dihadiri kira-kira 300 orang termasuk pemain daripada semua daerah di negeri ini.
"Program kali ini mendapat sambutan yang amat baik apabila disertai pemain daripada seluruh daerah di negeri ini yang menonjolkan bakat dan kebolehan yang baik dalam permainan sepak takraw.
"Saya berharap kejohanan ini terus mendapat sambutan pada masa akan datang sekali gus mampu menonjolkan bakat baharu dalam sukan ini, dan kita akan meneruskan usaha mencungkil bakat-bakat baru dari kalangan penduduk Melaka" katanya
Beliau yang juga Ketua Armada Bahagian Alor Gajah mahu memperkenalkan kategori tambahan bagi pemain berusia bawah 18 tahun sebagai usaha menarik minat lebih ramai pemain muda.
Menurutnya, beliau akan berbincang dengan pihak persatuan untuk memperkenalkan kategori baharu itu selain bersetuju menggandakan jumlah hadiah utama bagi menarik lebih banyak penyertaan pada masa akan datang.
Pemangku Naib Ketua Bahagian Alor Gajah, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Raduan Ja'apar mewakili Ketua Bahagian Alor Gajah merasmikan penutupan Kejohanan Sepak Takraw Tertutup Melaka Piala Merdeka di gelanggang sepak takraw, Sekolah Menengah Kebangsaan Dol Said.
Dalam ucapannya, Raduan menyuarakan sokongan penuh terhadap usaha untuk membangunkan sukan sepak takraw di Melaka.
Beliau mahu penganjuran Kejohanan Sepak Takraw Piala Merdeka diteruskan pada masa akan datang Selain itu, beliau berharap pelbagai lagi jenis sukan dapat diadakan pada masa akan datang melibatkan lebih banyak penyertaan.
Sebelum program berakhir, simbolik penyerahan tanjak kepada tetamu kehormat oleh pengelola program Mohd Erfan selaku Ketua Armada telah memberi ransangan dalam penggunaan warisan tanjak di Alor Gajah.