14/08/2026
TNB, SPRM Kedah Perkukuh Kerjasama Strategik Banteras Rasuah
ALOR SETAR, 13 Ogos 2026 — Jabatan Integriti Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kedah, Dato’ Nazli Rasyid bin Haji Sulong, hari ini bagi memperkukuh hubungan strategik serta meneroka peluang kerjasama dalam bidang integriti, tadbir urus dan pencegahan rasuah.
Kunjungan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama SPRM Negeri Kedah itu turut menjadi platform suai kenal serta perkongsian pandangan antara pengurusan Jabatan Integriti TNB dan SPRM Kedah berkaitan usaha memperkasakan budaya integriti, pematuhan serta tadbir urus yang telus dan berakauntabiliti.
Delegasi TNB diketuai oleh Chief Integrity Development Officer, Ahmad Petra Firdaus bin Abdullah, bersama barisan pengurusan kanan dan ketua-ketua unit Jabatan Integriti TNB.
Perbincangan antara kedua-dua pihak turut memberi tumpuan kepada aspek pengurusan risiko integriti, pematuhan serta usaha pencegahan dan pembanterasan rasuah, di samping mengenal pasti ruang kerjasama dalam pelaksanaan program kesedaran dan pendidikan antirasuah.
Kerjasama yang dicadangkan juga meliputi perkongsian kepakaran, pengalaman dan amalan terbaik dalam memperkukuh sistem kawalan dalaman serta meningkatkan kefahaman warga organisasi terhadap risiko dan ancaman rasuah.
Selain aspek integriti dan pencegahan rasuah, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai potensi kerjasama melalui pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya dalam menyemai nilai integriti, etika dan tanggungjawab sosial.
Dalam pada itu, TNB turut berminat dengan kerjasama program komuniti/amal yang melayakkan potongan cukai di bawah Subseksyen 34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Kerjasama strategik ini mencerminkan komitmen TNB dan SPRM Kedah untuk terus memperkukuh usaha pencegahan rasuah melalui pendekatan kolaboratif yang menekankan perkongsian ilmu, kepakaran dan pengalaman, selain memperluas usaha pembudayaan integriti dalam kalangan warga organisasi dan masyarakat.
Hubungan yang diperkasakan ini diharap dapat mewujudkan lebih banyak ruang kerjasama berimpak tinggi dalam usaha membina persekitaran perniagaan dan masyarakat yang lebih bersih, telus, beretika dan berakauntabiliti.