08/07/2026
KURSUS SMART SBB BERNAS SIRI 2/2026, TAKLIMAT JADUAL KERJA LADANG DAN SMART SAWAH AI
POKOK SENA, 7 Julai 2026 โ Kursus SMART SBB BERNAS Siri 2/2026, Taklimat Jadual Kerja Ladang dan Program Pendidikan Komuniti Smart Sawah AI telah berlangsung dengan jayanya di D-Aman Hub Melon, Gajah Mati, Pokok Sena, Kedah.
Program anjuran Lembaga Kemajuan Penanam-Penanam Padi Negeri Kedah dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM) ini melibatkan penyertaan ahli-ahli Persekutuan Penanam-Penanam Padi Kedah Cawangan Kampung Baru. Program ini bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kefahaman peserta mengenai pelaksanaan Program SMART SBB BERNAS, pengurusan aktiviti penanaman padi secara lebih sistematik melalui Jadual Kerja Ladang serta memberi pendedahan terhadap penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan komuniti pesawah.
Pengisian program dimulakan dengan Taklimat Program SMART SBB BERNAS yang disampaikan oleh Encik Shahril Hafizie bin Sobri daripada pihak BERNAS. Taklimat tersebut memberi penerangan mengenai pelaksanaan program serta usaha meningkatkan kecekapan pengurusan dan produktiviti dalam sektor penanaman padi.
Program diteruskan dengan Taklimat Jadual Kerja Ladang yang disampaikan oleh Dr. Nur Firdaus binti Mohamed Yusof. Melalui sesi tersebut, para peserta diberikan penerangan mengenai kepentingan perancangan dan penyelarasan aktiviti kerja ladang mengikut peringkat penanaman bagi membantu pesawah menguruskan operasi sawah dengan lebih teratur, sistematik dan berkesan.
Seterusnya, Program Pendidikan Komuniti Smart Sawah AI yang disampaikan oleh Puan Siti Darleena Suhaina binti Muhamad Radzi daripada Universiti Utara Malaysia memberi pendedahan kepada peserta mengenai penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta potensinya dalam membantu komuniti pesawah mendapatkan maklumat, meningkatkan pengetahuan dan menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi digital dalam sektor pertanian.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Profesor Madya Dr. Mardzelah binti Makhsin daripada Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia. Turut hadir bersama ialah Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Penanam-Penanam Padi Negeri Kedah, Tuan Haji Baharom Bin Kasim.
Selain sesi taklimat dan perkongsian ilmu, program turut dimeriahkan dengan sesi kuiz interaktif yang dikendalikan oleh pihak Universiti Utara Malaysia bagi menguji kefahaman peserta terhadap pengisian yang telah disampaikan. Aktiviti cabutan bertuah turut diadakan bagi menambahkan kemeriahan dan menggalakkan penglibatan aktif peserta sepanjang program berlangsung.
Penganjuran program ini diharapkan dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran ahli-ahli Persekutuan Penanam-Penanam Padi Kedah Cawangan Kampung Baru dalam pengurusan sawah yang lebih sistematik, di samping membuka ruang kepada komuniti pesawah untuk meneroka dan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan dalam mendapatkan maklumat serta menyokong aktiviti pertanian.
Kerjasama strategik antara Lembaga Kemajuan Penanam-Penanam Padi Negeri Kedah, BERNAS dan Universiti Utara Malaysia melalui penganjuran program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan sebagai usaha memperkasa komuniti pesawah, meningkatkan kecekapan pengurusan tanaman padi serta menyokong transformasi sektor pertanian ke arah yang lebih moden, berpengetahuan dan berdaya saing.