12/11/2025
Program “Clean Today Green Tomorrow” Pulau Payar anjuran SWCorp Alor Setar dan Padang Terap
SWCorp Kedah melalui SWCorp Cawangan Alor Setar dan Padang Terap telah menganjurkan Program “Clean Today, Green Tomorrow” yang telah berjaya dilaksanakan di Pulau Payar, Kedah dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Kedah. Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar, khususnya di kawasan marin yang menjadi tarikan pelancong.
Program yang disempurnakan oleh YBrs. Tuan Nordin Bin Amat ini turut dihadiri wakil-wakil daripada Bahagian Kerajaan Tempatan, SUK Kedah, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Majlis Daerah Pendang (MDP) serta Syarikat Konsesi Environment Idaman Sdn. Bhd., yang turut berganding bahu menjayakan aktiviti pembersihan pantai dan penanaman batu karang di sekitar Pulau Payar.
Antara pengisian utama program ialah aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan pantai, penanaman batu karang serta sesi taklimat tentang usaha-usaha menanggani isu alam sekitar di Pulau Payar oleh pihak Jabatan Perikanan. Usaha ini selaras dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebuah negara yang Bersih, Indah dan Sejahtera di bawah inisiatif SWCorp Malaysia.
Penganjuran program ini bukan sahaja memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi kerajaan dan pihak konsesi, tetapi juga menjadi platform untuk memupuk nilai tanggungjawab sosial dalam kalangan peserta terhadap pemuliharaan alam sekitar.
Dengan semangat “Clean Today, Green Tomorrow”, diharapkan usaha berterusan seperti ini dapat memastikan keindahan Pulau Payar kekal terpelihara untuk dinikmati oleh generasi masa depan.